Kon Yeow terima peruntukan pembangunan Ahli Parlimen dikurangkan, rancang perbelanjaan

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menerima keputusan Perdana Menteri  yang memutuskan supaya peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan untuk tahun ini.

Menurut Kon Yeow,  beliau masih menunggu butiran terperinci berhubung pelaksanaan pengurangan peruntukan tersebut yang dijangka akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 nanti.

“Saya berharap ia akan diumumkan sebelum peruntukan yang ada kini habis,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Tanjong dan KADUN Komtar dekat sini tengah hari tadi.

Ditanya sama ada pengurangan peruntukan tersebut akan menjejaskan perbelanjaan untuk rakyat, Kon Yeow berkata bahawa perlu ada perancangan dan penyelarasan dalam perbelanjaan mengikut peruntukan yang diterima.

Semestinya, kita (Ahli Parlimen) perlu berbelanja mengikut peruntukan yang diterima dan memastikan perbelanjaan tersebut tidak melebihi peruntukan yang diterima.

“(Dan) memandangkan belum ada butiran terperinci (mengenai peruntukan berkenaan) maka kita tunggu pengumuman (daripada Perdana Menteri),” katanya.

Difahamkan, peruntukan pembangunan yang disalurkan kepada Ahli Parlimen adalah untuk membantu membiayai projek-projek kecil atau penganjuran program pada peringkat komuniti di konstituensi masing-masing.

Semalam, dilaporkan Perdana Menteri mengesahkan bahawa peruntukan pembangunan Ahli Parlimen dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan bakal dilaksanakan secara berperingkat.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NUR ATIKAH RAHMAT