Kon Yeow optimis PH Pulau Pinang punyai kelebihan hadapi PRN

Admin

SEBERANG JAYA – Dengan adanya pentadbiran baharu pada peringkat Kerajaan Persekutuan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow optimis bahawa Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mempunyai kelebihan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, biarpun kelebihan tersebut tidak menjamin kemenangan 100 peratus tetapi ia tetap menjadi landasan yang baik kepada PH untuk meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri bergambar kenangan bersama hadirin pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran PKR Pulau Pinang dekat Flat Taman Tun Hussain On sebentar tadi.

“Saya menyeru kepada pengundi di seluruh negeri untuk berikan peluang sekali lagi kepada PH pada PRN akan datang.

“Selama 15 tahun menjadi Kerajaan Negeri, saya tidak berani katakan bahawa kami sudah mencapai segalanya tetapi sekurang-kurangnya pasukan Kerajaan Negeri boleh berbangga bahawa dalam tempoh ini, kita telah berusaha sebaik mungkin untuk membawa perubahan kepada Pulau Pinang.

“Perubahan-perubahan yang dibawa ini dapat disaksikan dan dirasai sendiri oleh rakyat, baik dari segi ekonomi, pembangunan industri, peluang perniagaan, pengurusan alam sekitar, perancangan pembandaran, pengurusan sisa pepejal, program kebajikan dan keagamaan, isu perumahan dan banyak lagi,” katanya semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang dekat Flat Taman Tun Hussain On di sini sebentar tadi.

Bersama pimpinan Kerajaan Negeri dan ahli jawatankuasa penganjur majlis.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan ketua menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun merangkap Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Goh Choon Aik; ADUN Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; beberapa ADUN Pakatan Harapan; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata bahawa walaupun kehilangan kerusi Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, namun pengundi masih berpeluang memenangkan PH di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen berkenaan pada PRN akan datang.

“Kita tidak dapat menulis kembali sejarah tetapi kita boleh mencipta sejarah baharu dalam PRN akan datang dan PRU yang seterusnya… jadi, kita perlu bekerja keras demi memperoleh sokongan berterusan daripada rakyat di kawasan Parlimen ini.

Bergambar bersama-sama jawatankuasa Flat Tun Hussain On.

“Justeru, pada PRN akan datang, pengundi masih ada peluang untuk memberikan sokongan kepada PH demi memastikan kita mendapat kemenangan dan mempertahankan DUN Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.

“Ketiga-tiga kerusi ini merupakan benteng kepada pemerintahan PH di Pulau Pinang,” ujarnya sambil menambah bahawa PH perlu mempertahankan kemenangan di semua kerusi yang dimenangi pada PRN sebelum ini demi kelangsungan pentadbiran PH di negeri ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin yang turut berucap sebelum itu menegaskan bahawa PKR akan berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan kemenangan di DUN Seberang Jaya serta kerusi-kerusi yang dimenangi sebelum ini

“Saya percaya rakyat yakin apa yang mampu diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Ratusan hadirin hadir memeriahkan majlis.

Sementara itu, Choon Aik berkata program rumah terbuka yang diadakan itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada pengundi-pengundi di Seberang Jaya yang sentiasa memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan.

“Walaupun kita kalah di Parlimen Permatang Pauh, namun kita akan pastikan semua peruntukan dan program kebajikan berjalan seperti biasa melalui ADUN Angkat yang telah dilantik,” katanya.

Selain dijamu dengan pelbagai jenis juadah, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan muzik tradisional masyarakat Cina dan persembahan tarian singa yang memukau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD