Kontinjen Pulau Pinang sasar 11 pingat emas di Para Sukma Ke-20

GEORGE TOWN – Kontinjen Pulau Pinang menyasarkan 11 pingat emas, 14 pingat perak dan 10 gangsa dalam temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) Ke-20 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 hingga 6 November ini.

Sasaran itu diumumkan oleh Pengarah Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azman Ibrahim pada majlis penyerahan bendera kepada Kontinjen Pulau Pinang ke Para Sukma Ke-20 dekat Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, di sini sebentar tadi.

Azman Ibrahim menyerahkan bendera Kontinjen Para Sukma Pulau Pinang kepada atlet renang, Zylee Kheer.

“Saya dan seluruh warga Pulau Pinang berharap agar kita dapat mencapai sasaran bilangan pingat yang disasarkan dalam temasya Para Sukma kali ini.

“Justeru, atlet yang akan bertanding harus membuktikan keupayaan dan berjuang habis-habisan bagi menterjemahkan kejayaan yang bakal menjadi kebanggaan diri dan negeri Pulau Pinang amnya.

“Kalah atau menang adalah adat pertandingan tetapi tunjukkanlah kepada dunia semangat perjuangan anak-anak negeri Pulau Pinang yang sebenar-benarnya,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar; Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Hairul Rizuan Syahidan; wakil Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Christopher Koh Boon Han dan Timbalan Presiden PESRON Negeri Pulau Pinang, Dr. Mohd. Sharizal Abdul Aziz.

Antara barisan kepimpinan yang hadir.

Mengulas lanjut, Azman berkata bahawa temasya Para Sukma Ke-20 akan disertai oleh seramai 114 orang termasuk para pegawai, pengurus, jurulatih dan atlet.

“Suka saya ingatkan bahawa pemergian anda ke Para Sukma Ke-20 bukan sekadar mewakili diri sendiri tetapi turut mewakili negeri.

“Oleh itu, berjuanglah sebaik-baiknya kerana anda mampu memgharumkan nama negeri dan memastikan lagu Negeri Kita berkumandang di gelanggang Para Sukma Ke-20,” serunya.

Antara atlet yang bakal mengambil bahagian dalam Para Sukma Ke-20.

Terdahulu, Azman menyerahkan bendera Kontinjen Negeri Pulau Pinang ke Para Sukma Ke-20 kepada atlet renang negeri, Zylee Kheer dan Mozakir.

Sebagai rekod, Zylee Kheer merupakan pemenang pingat emas bagi acara 200 meter rampaian individu (IM) dalam kejohanan 11th ASEAN Para Games pada Ogos lalu.

Difahamkan, Kontinjen Para Sukma Pulau Pinang bakal mengambil bahagian dalam 107 acara daripada keseluruhan 294 acara yang dipertandingan pada temasya kali ini merangkumi 10 jenis sukan iaitu badminton, memanah, olahraga dan ping pong.

Selain itu, kontinjen Pulau Pinang juga turut mengambil bahagian dalam sukan renang, powerlifting, boccia, catur, boling padang dan tenpin boling.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS