Konvoi KMJG 2019, semarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 dan kibarkan Jalur Gemilang

Admin

PULAU BETONG – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Pulau Pinang yang membawa misi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62 tahun ini singgah di destinasi terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Balik Pulau dekat sini.

Setelah melalui perjalanan sejauh 62 kilometer, ketibaan konvoi di destinasi terakhir ini disambut oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Ketika berucap, Ahmad Zakiyuddin berharap persinggahan konvoi KMJG 2019 dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini bukan sahaja kepada peserta konvoi tetapi juga tempat yang disinggahi.

“Program ini (konvoi KMJG) sememangnya relevan dengan sambutan Hari Kemerdekaan kerana ia merupakan usaha untuk menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang.

“Bertepatan dengan tema tahun ini, ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’ yang menitikberatkan hasrat kerajaan memupuk semangat cintakan negara, saya berharap rakyat Malaysia amnya dapat menghayati sejarah kemerdekaan dan menzahirkan rasa patriotisme serta kesyukuran atas nikmat yang dikecapi selama ini.

“Terima kasih kepada Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Pulau Pinang kerana berjaya membawa mesej semangat cintakan negara ini untuk dihayati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada peserta konvoi yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Turut berucap, Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd Hafiz Aswad Nadzri yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Konvoi KMJG 2019.

Dalam majlis sambutan sama, Ahmad Zakiyuddin menandatangani buku autograf KMJG 2019 serta menyerahkan bendera konvoi kepada Ketua Konvoi, Dr. Haniff Hassan.

Beliau turut menyampaikan Jalur Gemilang kepada agensi kerajaan terlibat dan menyampaikan sumbangan ‘Sentuhan Kasih Merdeka’ kepada dua pesara tentera dan tiga pesara polis.

Selain itu, beliau juga menyempurnakan penanaman pokok bunga sebagai simbolik majlis sambutan.

Difahamkan, seramai 134 peserta dan 62 buah kenderaan terlibat dalam konvoi ini, antaranya daripada JaPen Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Filem Nasional Negara (FINAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN