Pemilik iklan tanpa permit bakal hadapi risiko nombor telefon dipotong – Ahli Majlis

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi amaran keras kepada syarikat yang membuat papan iklan tanpa permit sah supaya menurunkannya dengan segera.

Ahli Majlis bagi MBPP, Wong Yuee Harng berkata, terdapat 450 sepanduk iklan haram oleh sebuah syarikat yang mula dikesan sejak 9 Ogos lalu di sekitar kawasan utama dekat George Town dan Bayan Baru.

“Tindakan yang telah diambil selain menurunkan iklan tersebut adalah dengan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pemilik nombor dalam tempoh tiga hari untuk hadir ke pejabat Bahagian Perlesenan MBPP bagi memberi penjelasan.

“Justeru, jika masih tiada sebarang maklum balas ataupun tindakan susulan daripada pihak berkaitan, MBPP akan memaklumkan nombor (telefon) tersebut kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan seterusnya iaitu untuk membuat pemotongan,” katanya selepas operasi menurunkan gegantung iklan tanpa permit sah di sekitar kawasan Gama Supermarket di sini, pagi tadi.

Hadir sama, rakan sepenjawatnya, Nicholas Theng dan Azahari Aris.

Dalam pada itu, menurut Yuee Harng, tindakan salah laku tersebut boleh dikenakan penguatkuasaan di bawah Undang-Undang Kecil (Iklan) Majlis Perbandaran Pulau Pinang 2000 (denda tidak lebih RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya) dan Undang-Undang Kecil (Kebersihan dan Keselamatan Awam) Majlis Perbandaran Pulau Pinang 1980 (denda tidak lebih RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya).

“Namun begitu, kami (MBPP) sedia membantu pihak tersebut jika mereka memerlukan khidmat nasihat seperti permohonan permit sah bagi menjalankan perniagaan dengan cara yang betul.

“Jika lihat pada iklan yang digantung secara haram ini, penggantungannya tidak mengikut prosedur ditetapkan malah boleh mengancam keselamatan orang awam,” tegasnya yang juga Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam.

Difahamkan, MBPP telah menurunkan sejumlah 17,330 iklan haram dari bulan Januari hingga 14 Ogos lalu.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN