Koperasi kariah masjid mampu pacu ekonomi, tingkat aset orang Islam – TKMI

GEORGE TOWN – Sehingga Jun 2020, jumlah pendapatan yang berjaya diraih menerusi 42 koperasi kariah masjid yang berdaftar di negeri ini adalah berjumlah RM2 juta, dengan jumlah modal dan nilai aset masing-masing adalah sebanyak RM1.23 juta dan RM3.2 juta.

Melihat angka tersebut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa koperasi kariah masjid sebenarnya sangat berpotensi dalam memacu ekonomi umah serta meningkatkan pemilikan aset umat Islam.

“(Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) akan bekerjasama dengan pelbagai agensi dan jabatan berkaitan untuk membudayakan koperasi dalam kalangan kariah masjid kerana fakta serta angka di atas menunjukkan koperasi kariah mampu dan berpotensi untuk memajukan umat Islam.

“(Kerajaan Negeri) akan memperhebatkan usaha untuk membudayakan koperasi kepada pelbagai kelompok masyarakat merentasi kaum, bahasa dan agama,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti ketika membuat ucapan penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketika Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 16 Oktober 2020.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal turut memberitahu bahawa pihaknya bermula pada 26 Oktober 2020 berhasrat untuk mewujudkan indeks 50 gerakan koperasi terbaik negeri supaya dapat dijadikan penanda aras kepada koperasi lain di Pulau Pinang.

Selain itu, Ahmad Zakiyuddin menyatakan bahawa sehingga bulan Jun 2020 didapati sebanyak 747 keperasi didaftarkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dekat Pulau Pinang, dengan jumlah keanggotaan melibatkan seramai 130,472 orang.

Tambah beliau, jumlah pendapatan tahunan keseluruhan koperasi di negeri ini pula direkodkan kira-kira RM225 juta.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS