Khaira Ummah 2030 disemarakkan, peruntukan pembangunan Islam ditingkatkan

Admin

GEORGE TOWN – Peruntukan pembangunan untuk Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) bagi tahun belanjawan 2021 ditingkatkan menjadi RM18.61 juta berbanding RM11.09 juta pada tahun ini demi menyemarak lagi Khaira Ummah 2030 (KU2030) iaitu agenda pembangunan jangka panjang umat Islam Pulau Pinang sehingga tahun 2030.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu perkara itu semasa menyampaikan ucapan penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang pada 16 Oktober 2020.

“Ia memperlihatkan peningkatan sebanyak RM7.52 juta atau 67.8 peratus,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.

Di samping itu, Ahmad Zakiyuddin memberitahu Dewan bahawa bagi tahun 2021, sejumlah RM64.16 juta telah diperuntukan bagi tujuan baik pulih, penyelenggaraan dan kelengkapan institusi keagamaan di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan bahawa menerusi KU2030, suatu bengkel pelan kerja telah dianjurkan pada 21 September lepas, serta berjaya menghimpunkan lebih 100 perwakilan dan para pemegang taruh daripada jabatan kerajaan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Selain daripada jabatan atau agensi berkaitan Hal Ehwal Agama Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan orang perseorangan, pemegang taruh yang hadir ke bengkel tersebut adalah terdiri daripada wakil jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan lain seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Pendidikan dan MARA,” ulasnya yang juga ADUN Pinang Tunggal.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS