Kos CCTV berteknologi tinggi MBPP relevan, respons Exco

GEORGE TOWN – Kos pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sangat relevan, kata Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pihak yang sebelum ini mempersoalkan mengapa kos pemasangan 216 unit CCTV oleh MBPP adalah jauh lebih tinggi berbanding 1,500 unit (CCTV) yang dipasang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membabitkan 48 Projek Perumahan Rakyat (PPR). Kon Yeow berkata, kos berjumlah RM12,896,888 yang dikeluarkan MBPP bukan hanya melibatkan pemasangan, tetapi termasuk juga kos penyelenggaraan komprehensif bagi semua peralatan di tapak dan empat pusat kawalan selama lima tahun termasuk latihan kakitangan.

“Kita tidak boleh menilai kos pemasangan dengan hanya melihat CCTV yang dipasang tanpa mengambil kira fakta sebenar.

“Kita perlu juga mengambil kira soal lokasi CCTV itu dipasang, apakah fungsi yang ada pada CCTV, berapa bilik kawalan yang ada, dan penyelengaraan lain yang merupakan kos sebenar,” katanya pada sidang media di Bilik CCTV MBPP di sini 7 Februari lalu.

Turut hadir, Datuk Bandar, Ar. Yew Tung Seang; Jurutera Lalulintas, Tuti Azmalia Azai dan pegawai penguatkuasa MBPP.

Namun, tambah Kon Yeow, jika pihak berkaitan mahu melakukan perbandingan, beliau harus melihat kepada kos yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang jauh lebih tinggi, iaitu RM5.05 juta bagi pemasangan 32 unit CCTV.

“Ia lebih mahal berbanding kos dikeluarkan MBPP, sedangkan KPKT hanya menggunakan khidmat sewa yang sepatutnya lebih murah.

“Dia (pihak berkaitan) sepatutnya minta KPKT jelaskan perkara ini dahulu sebelum menuding jari kepada MBPP,” ujarnya.

Sementara itu, Tung Seang menjelaskan, CCTV yang dipasang MBPP adalah berteknologi tinggi termasuk perisian yang telah dinaik taraf dengan empat bilik kawalan yang lebih canggih.

“CCTV yang dipasang DBKL hanya tertumpu kepada perumahan PPR sahaja, berbeza dengan MBPP yang bertujuan untuk mengawal jalan raya yang mana ia telah diselaraskan dengan fungsi peranan video analytics yang akan digunakan sebagai data utama.

“CCTV ini mempunyai kekuatan yang boleh dikembangkan pada masa akan datang dan lebih penting akan kekal menjadi milik MBPP,’’ jelasnya.

Sebagai rekod, MBPP kini sedang dalam proses pemasangan CCTV Fasa lima sebanyak 200 unit dengan kos RM11,554,571.72 yang dijangka siap pada penghujung Mac 2018.