Alatan SPG, pengguna diseru kembalikan kepada MBPP

GEORGE TOWN – Pemegang Alatan Prabayar Parkir (SPG) diminta mengembalikan alatan tersebut kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mulai 6 Februari 2018.

Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang pada sidang media menyatakan, pendekatan tersebut diambil setelah MBPP mendapati terdapat gangguan perkhidmatan melibatkan alatan berkaitan kebelakangan ini.

Menurutnya, masalah tersebut timbul ekoran penamatan kontrak terhadap sebuah syarikat pengurusan letak kereta baru-baru ini.

“Pihak MBPP mengambil perhatian berhubung masalah ini.

“Oleh itu, pengguna yang memiliki alatan SPG diminta tampil mengembalikan semula alatan tersebut dan MBPP akan membuat bayaran tuntutan sewajarnya,” ujarnya di sini 6 Februari lalu.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali dan Ahli-ahli Majlis MBPP, Joseph Ng Soon Siang serta Gan Ay Ling.

Mengulas lanjut, Tung Seang memberitahu, setiap alatan SPG yang dikembalikan semula kepada MBPP akan menerima bayaran semula sebanyak RM25 bagi deposit alatan berkenaan.

“Manakala, baki kad prabayar di bawah RM50 turut akan dibayar semula secara terus setelah pengguna menandatangani surat akuan penerimaan,” jelasnya.

Menurut Tung Seang, pengembalian alatan tersebut boleh dilakukan sehingga 31 Mac ini.

“Alatan tersebut perlu dikembalikan ke Pusat Bayaran Setempat, Jalan Padang Kota Lama mengikut hari dan masa ditetapkan,” ujarnya.

Maklumat berkenaan adalah seperti berikut:

Isnin hingga Khamis

8.30 pagi – 12.30 tengah hari;

2 petang – 4.30 petang

Jumaat

8.30 pagi – 12.15 tengah hari ;

2.45 petang – 4.30 petang.