Krew MP Nibong Tebal jejak fakir sempena Ramadhan

Admin

SUNGAI ACHEH – Krew Pusat Khidmat Parlimen Nibong Tebal yang diketuai Encik Azmi baru-baru ini menjejaki fakir miskin di sekitar kawasan parlimennya sempena menyambut bulan Ramadhan.

Azmi berkata, program Jejak Fakir tersebut adalah hasil buah fikiran Ahli Parlimen (MP) Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

“Program ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu Zakat Pulau Pinang (ZPP) dalam mengagihkan sumbangan kepada mereka yang layak, termasuk di Kampung Sungai Chenaam di sini,” ujarnya.

Ekspedisi kemanusiaan itu antara lain membantu membaiki rumah keluarga Ngah Imsah yang dikesan dalam keadaan daif dan usang.

Mereka turut membantu keluarga Yusof Ahmad yang lumpuh dan tidak lagi bekerja sejak tiga tahun lepas.

“InshaAllah, kita (Kerajaan Negeri) akan usahakan sesuatu untuk membaiki rumah Ngah Imsah demi keselesaan makcik Ngah sekeluarga serta mendapatkan bantuan dari ZPP…lebih-lebih lagi makcik Ngah mempunyai seorang anak lelaki ‘istimewa’.

“Hanya isterinya (Yusof Ahmad) bekerja mengambil upah mengasuh kanak-kanak dengan pendapatan sekitar RM200 sebulan untuk membantu keluarganya.

“Sudah menjadi hasrat Ahli Parlimen kita (Mansor) untuk cuba sedaya upaya membantu seluruh penduduk di Parlimen ini, terutamanya yang fakir dan terpinggir demi kelangsungan Kerajaan Negeri,” kata Azmi.