Rayer sertai bersih kubur Islam

Admin

SERI DELIMA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N.Rayer menyertai kira-kira 100 penduduk setempat membersihkan tanah perkuburan Islam Sungai Gelugor di sini sempena sambutan Ramadhan.

Beliau berkata, program amal seumpama itu dapat menyuburkan rasa muafakat antara Pusat Khidmat ADUN Seri Delima dengan komuniti umat Islam tempatan.

“Saya amat berbesar hati menjadi sebahagian komuniti yang hadir untuk turut serta dalam gotong-royong membersihkan kawasan Tanah Perkuburan Islam Sungai Gelugor ini,” katanya baru- baru ini.

Beliau berkata, beliau sangat bangga dengan amalan umat Islam memperbanyak sedekah, mengadakan jamuan berbuka puasa, meraikan anak-anak yatim serta mengimarahkan masjid.

“Saya percaya di bulan yang suci ini, kerja-kerja amal boleh menjadi pemangkin dalam melaksanakan ibadah yang dituntut dalam Islam,” katanya lagi.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan lagi keharmonian beragama melibatkan umat Islam dan bukan Islam di negeri berkenaan.