Kunjungan perkukuh inisiatif halal negeri

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


GEOR GE TOWN – Industri halal negeri melakar perkembangan positif apabila Penang International Halal Hub (Halal Penang) selangkah setapak lagi dalam memperkukuhkan inisiatif perangkaian perkhidmatan dan pengeluaran produk halal tempatan ke mata dunia.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim ketika ditemui berkata, inisiatif perangkaian perkhidmatan dan pengeluaran produk halal tempatan tersebut bertujuan menjadikan industri halal tempatan lebih kompetatif serta berkembang pesat selaras dengan sasaran Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai hab halal bertaraf antarabangsa.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan wujud rentetan sesi padanan perniagaan dan lawatan ke negara-negara yang berminat untuk berkongsi dalam mewujudkan hubungan perniagaan halal.

Terbaru, lawatan delegasi Morocco (Maghribi) diketuai Menteri Perhubungan Parlimen dan Kemasyarakatan, Lahbib Choubani dan Menteri Industri, Perdagangan dan Teknologi Baharu, H.E. Abdelkader Aamara ke penganjuran 5th Penang International Halal Expo and Convention (PIHEC) di sini baru-baru ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang peneraju hab halal dunia.

“Kita (Kerajaan Negeri) menjemput delegasi daripada Morocco setelah mereka melihat kesungguhan kita dalam pembangunan industri halal termasuk hal-hal perundangan berkaitan halal di Pulau Pinang khasnya.

“Kehadiran mereka juga dapat mewujud dan memperkukuhkan hubungan perniagaan sedia terjalin serta membolehkan pihak terbabit meninjau peluang-peluang perniagaan yang wujud antara kedua-dua negara,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Halal Penang.

Selain kunjungan delegasi Morocco, Pulau Pinang turut menerima kunjungan delegasi daripada Punjab dan Sind, Pakistan yang diketuai Pengerusi Punjab Halal Development Agency (PHDA), Khalilur Rehman Khan.

Menurut Abdul Malik, lawatan rasmi terbabit adalah kunjungan balas hasil daripada kunjungan beliau ke Punjab dan Sind empat tahun lalu. “Ketua Menteri Punjab, Muhammad Shahbaz Sharif sangat agresif dalam usaha memartabatkan industri halal di sana (Punjab) termasuk meletakkan tahap khusus serta sistem perundangan khas berkaitan pengeluaran dan pengeksportan produk-produk halal dari Pakistan.

“Melalui PHDA, mereka kini telah bersedia untuk ‘menawan’ pasaran halal dunia bernilai USD$3,000,000,000,000 (tiga trilion) dan kita turut berkongsi pengalaman dalam menjadikan industri halal sebagai industri unggul dunia,” jelasnya.

Kedua – dua delegasi turut berkesempatan mengadakan pertemuan tertutup bersama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Malik turut berkata bahawa Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang membangunkan piawaian produk makanan halal mengikut Standard Halal Malaysia MS 1500:2004 yang menjadikan Malaysia mempunyai kelebihan dan kepakaran dalam industri halal.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga proaktif dengan membangunan taman perindustrian halal di Bukit Minyak yang bukan sahaja mengeluarkan produk halal malah menawarkan perkhidmatan dan insentif penyediaan produk halal.

“Salah satu inisiatif Kerajaan Negeri adalah dengan menganjurkan PIHEC yang turut mengadakan sesi padanan perniagaan sama ada melalui padanan perniagaan tempatan ataupun padanan perniagaan antarabangsa,” jelasnya yang turut teruja apabila maklum balas yang diterima baru-baru ini berkaitan penganjuran PIHEC amat menggalakkan.

Beliau turut mengharapkan penyertaan minat dalam sesi padanan perniagaan bersama Halal Penang dapat dikembangkan bukan sahaja dalam kalangan negara-negara Islam, malah serata dunia.