Kutipan hasil cukai, Pulau Pinang negeri kedua tertinggi

Admin

GEORGE TOWN – Jumlah pengunjung yang mengunjungi Bukit Bendera dijangka meningkat susulan pembukaan pelbagai sektor perniagaan dan ekonomi sejak 10 Jun lalu.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini menjangkakan jumlah pengunjung ke Bukit Bendera akan mencecah 2 juta orang tahun ini berbanding (tahun) sebelumnya, 1.9 juta pengunjung.

 

Namun, penularan pandemik COVID-19 banyak memberi cabaran kepada semua sektor.

 

“Sejak minggu pertama (pembukaan semula Bukit Bendera), jumlah pengunjung adalah 1,000 orang dan semalam (21 Jun 2020) jumlah kehadiran pengunjung direkodkan adalah seramai 4,000 orang.

 

“(Dan) jumlah tersebut dijangka bertambah dengan kita (Kerajaan Negeri) memfokuskan terhadap pelancongan domestik untuk memulihkan semula sektor pelancongan Pulau Pinang.

 

“Tambahan pula dalam situasi semasa, percutian hanya dibenarkan dalam negara dan Pulau Pinang merupakan salah satu destinasi yang menawarkan pelbagai keistimewaan,” ujar beliau pada pertemuan bersama-sama delegasi dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di pejabat beliau di sini pagi ini.

 

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menerima kunjungan delegasi LHDN yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan, Mohd. Jaafar Embong dari Ibu Pejabat LHDN Malaysia di Cyberjaya serta Pengarah Negeri LHDN Pulau Pinang, Abdul Khalid Yunus.

 

Turut sama, Pengarah – Pengarah Cawangan, Aziz Din (Bahagian Siasatan); Mohd. Hamzan Mamat; Mohamad Zin Yaacob (Bukit Mertajam) serta beberapa pegawai pelbagai pangkat dan penjawatan.

 

MOHD. Jaafar Embong (kiri sekali) menyerahkan plak kenang-kenangan kepada Ketua Menteri sambil ditemani Abdul Khalid Yunus (kanan sekali).

Dalam pertemuan selama 40 minit itu, Kon Yeow turut memberi respons terhadap beberapa perkara berkaitan perkembangan semasa Pulau Pinang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

 

Antaranya dari segi pencapaian pelaburan langsung asing (FDI); sumber pendapatan negeri; pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi strategik perkembangan perniagaan; perumahan; pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Pelabuhan Pulau Pinang; potensi sektor akuakultur dan pengenalan cukai petak.

 

Dalam pada itu, Mohd. Jaafar memaklumkan bahawa penularan wabak COVID-19 bukan sahaja memberi impak terhadap ekonomi negara tetapi juga daripada segi kutipan cukai.

 

Menurut beliau, pihaknya mensasarkan kutipan hasil sebanyak RM154 bilion, namun jumlah tersebut perlu dipinda semula kerana banyak sektor perniagaan termasuk sektor pelancongan, terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

 

Kutipan cukai juga menurun yang mana kita (LHDN Malaysia) ada memberi penangguhan bayaran kepada pembayar cukai bagi semua sektor perniagaan yang terjejas.

 

“(Dan) daripada segi kutipan hasil mengikut negeri pula, Pulau Pinang merupakan kedua tertinggi (membayar hasil),” katanya yang turut berharap agar impak pandemik COVID-19 dapat dipulihkan sepenuhnya.

 

Sebagai rekod, sejumlah RM137.035 bilion dicatatkan bagi kutipan kasar cukai langsung negara tahun 2018.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG