Kerajaan Negeri serah 4,000 pelitup muka kepada Mahkamah Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Sejumlah 4,000 keping pelitup muka disumbangkan Kerajaan Negeri kepada Mahkamah Pulau Pinang hari ini.

Sumbangan disampaikan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng kepada Pengarah Mahkamah Negeri Pulau Pinang, Zaharah Hussain.

Lai Heng ketika ditemui memberitahu bahawa sumbangan berkenaan disampaikan susulan daripada kunjungan Ketua Menteri ke Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang baru-baru ini.

“Ketika lawatan berkenaan Ketua Menteri ada bertanyakan tentang keperluan pelitup muka dan daripada maklum balas yang diterima beliau telah mengarahkan sumbangan dihulurkan,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar.

Hadir sama Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri merangkap Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Yap Lee Ying.

Manakala, Zaharah sejurus menerima sumbangan tersebut menzahirkan rasa terharu dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri.

“Kita mempunyai kira-kira 300 lebih kakitangan di kesemua mahkamah di seluruh Pulau Pinang termasuklah Mahkamah Majistret.

“Sumbangan ini adalah bagi menangani penularan wabak COVID-19,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG