KXP akan jadi pesaing, bukan pelengkap LTAPP – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) akan menjadi persaingan serta bukan pelengkap kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dalam mendapatkan syarikat-syarikat yang menggunakan perkhidmatan kargo di Koridor Utara, sekiranya dibina oleh Kerajaan Persekutuan kelak.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kewujudan KXP kelak sekaligus akan menyumbang kepada pengurangan kadar penggunaan kemudahan infrastruktur kargo sedia ada di PIA.

“Kehilangan pelabur yang beralih arah ke kawasan Kulim dan kemungkinan besar ke negara lain, dan seterusnya mengurangkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi semasa Sesi Soal Jawab Lisan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di Dewan Sri Pinang dekat sini pada 2 Mei 2019.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata demikian sebagai menjawab soalan bertulis yang dibangkitkan oleh ADUN Batu Uban, A. Kumaresan.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berhasrat untuk melantik perunding bagi membuat Kajian Kebolehlaksanaan Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Koridor Utara.

“Pelantikan perunding ini dijangka akan dilaksanakan pada suku akhir tahun 2019.

“Kajian ini dicadangkan untuk dilaksanakan secara menyeluruh agar keputusan yang tepat dapat diperoleh dan diteliti secara mendalam sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” ujarnya.

Lagi pun, menurut Kon Yeow, berdasarkan laporan yang disediakan oleh dua perunding iaitu KPMG Corporate Advisors bagi pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan KLIA Consultancy bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah, menjelaskan bahawa pembinaan KXP akan memberi kesan yang negatif kepada LTAPP secara khusus dan negeri Pulau Pinang amnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI