ADUN anjur sesi ‘Town Hall’, kumpul input berkaitan pembangunan di Seberang Jaya

Admin

SEBERANG JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin menganjurkan sesi ‘Town Hall’ sebagai salah satu usaha untuk mendekati permasalahan komuniti setempat.

Afif berkata, Sesi Town Hall Maju Bersama tersebut adalah untuk melihat perancangan pembangunan atau pelbagai isu yang perlu diberikan perhatian dalam memajukan lagi kawasan di Seberang Jaya.

“Sesi ini amat menarik kerana isu-isu dibangkitkan bukanlah isu yang terlampau kritikal sehingga tidak boleh diselesaikan.

“(Dan) saya yakin dengan kehadiran agensi-agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Daerah, dan lain-lain termasuk pimpinan masyarakat untuk mendengar sendiri pandangan dan masalah dihadapi pihak berkepentingan berkaitan untuk diselesaikan dengan segera.

“Saya gembira kerana sesi ini dapat dilakukan dalam tempoh setahun selepas pilihan raya umum untuk melaporkan apa yang telah dilakukan berdasarkan janji dibuat dan sekiranya maklum balas diterima adalah baik kemungkinan program ini boleh dianjurkan secara berkala,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara selepas tamat program berkenaan dekat Lobi Utama Ibu Pejabat MPSP, semalam.

Turut Hadir, Ahli Majlis bagi MPSP, Shuhada Abdul Rahim; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod serta pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sekitar Seberang Jaya.

Mengulas lanjut, Afif berkata, sesi tersebut juga merupakan sebahagian daripada visi Penang2030 yang digagaskan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow supaya pembangunan negeri termasuk kawasan Seberang Jaya lebih inklusif dan melibatkan semua pihak.

“Program ini selari dengan wawasan untuk menjadikan Pulau Pinang lebih mesra keluarga, pintar dan hijau menjelang 2030,” ujarnya yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan.

Menyentuh soal permasalahan dibangkitkan penduduk, Afif berkata kebanyakannya adalah melibatkan isu-isu tempatan seperti perparitan, keadaan jalan termasuk kemudahan awam seperti taman permainan, fasititi, ketersambungan dan meningkatkan kehadiran pelancong.

“Walau bagaimanapun, untuk penggal ini kita lebih fokus untuk melihat potensi besar di Seberang Jaya iaitu Sungai Perai, Sungai Derhaka dan sungai-sungai lain yang boleh dinaik taraf bukan hanya sebagai kawasan rekreasi tetapi boleh juga menjadi sumber air mentah bagi kegunaan seharian,” jelasnya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF