Labur RM50 juta, Atotech harap produktiviti berkembang

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BUKIT TAMBUN – Atotech (Malaysia) Sdn. Bhd. (Atotech) melabur RM50 juta dengan membuka sebuah kilang produk berasaskan kimia di Pulau Pinang, sungguhpun pengeluarannya dalam pasaran global sedikit menguncup dalam tempoh tiga bulan sejak hujung tahun lalu. Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap, pemilihan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan bakal mengembang kembali produktiviti syarikat dari Jerman itu ke peringkat Asia Tenggara.

“Dalam iklim ekonomi tidak menentu, terbukti bahawa Pulau Pinang masih berdaya tahan dan masih berdiri sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Selain Atotech, kami (Pulau Pinang) berbangga kerana sebahagian besar pelaburan langsung asing (FDI) ini adalah dari Jerman, seperti Bosch, B Braun, KMWE, Multitest, Zestron dan Osram,” katanya pada Majlis Pembukaan Kilang Baharu Atotech (Malaysia) Sdn. Bhd. di Taman Sains Pulau Pinang dekat Batu Kawan, 11 Mac lalu.

Pada 8 Mac lalu, Pulau Pinang baru menerima pelaburan RM100 juta dalam tempoh lima tahun, KLS Martin, iaitu sebuah firma peranti perubatan terkenal dari Jerman juga.

Difahamkan, Atotech sejak tahun 1998 melabur di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, dan terbaru melabur RM50 juta lagi di negeri ini sahaja. Sekarang, firma itu mempunyai 30 pekerja, dan dijangka meningkat pada angka 50 orang kelak.

Mengulas lanjut, Guan Eng berharap, Atotech turut dapat bekerjasama dengan agensi negeri, Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dalam meningkatkan pengalaman mahir dalam kalangan pelatih tempatan.

Ini kerana, katanya, di PSDC ketika ini sedang melaksanakan sistem pendidikan vokasional antarabangsa dari Jerman di pusat latihan berkaitan juga. Sebelum itu, Presiden Atotech, Reinhard Schneider melahirkan harapan bahawa pelaburan ke Pulau Pinang akan mengembangkan semula potensi pemasaran firma itu, khususnya di peringkat Asia Tenggara.

“Di Pulau Pinang, kami (Atotech) dekat dengan keduadua pelanggan berpotensi dan pelanggan sedia ada.

“Ini, membolehkan kami (Atotech) lebih memahami keperluan mereka serta iklim persaingan semasa.

“Lagipun, Pulau Pinang menawarkan (guna tenaga) profesional mahir yang boleh menyokong pelan pembangunan masa depan kami,” jelas Schneider.

Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Lee Kah Choon, Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC), Loo Lee Lian (Pengurus Besar investPenang), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) serta Pengarah Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia (MIDA) Pulau Pinang, Azhana Mohamed Saleh turut sertai majlis itu.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);