Ladang solar Byram pertama di Pulau Pinang, 21 tahun bekal tenaga boleh diperbaharui kepada TNB

JAWI – Mulai 1 Disember 2018, PLB Green Solar Sdn. Bhd. sebagai pengeluar tenaga boleh diperbaharui bebas (IRE) di ladang solar seluas 60 ekar dekat Ladang Byram akan membekalkan 37,470 jutawatt per jam setahun selama 21 tahun, untuk disalur jual kepada Tenaga National Berhad (TNB).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa penjanaan tenaga boleh diperbaharui dari ladang solar tersebut mampu menampung penggunaan elektrik kira-kira 12,000 rumah, kelak.

“(Ladang solar Byram) ini memang inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Tenaga bagi menggalakkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan mengurangkan pelepasan (gas) karbon monoksida.

“Hampir dua tahun juga (sejak 2016) projek ini bermula, dan pada hari ini kita dapat melihat ia siap dan sudah mula membekalkan tenaga boleh diperbaharui di (pusat bekalan tenaga elektrik TNB) Batu Kawan,” jelasnya selepas meninjau sendiri keadaan ladang solar di sini pada 25 November.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi merasmikan Majlis Penyempurnaan Ladang Solar 20MWac di Ladang Byram di sini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik turut menyertai majlis tersebut.

Turut serta, Pengarah Urusan PLB Green Solar, Datuk Seri Ong Choo Hoon; Pengarah Eksekutifnya, Datuk Ong Guat Beng; Pengarah Urusan, Syamshuar Husin; Pengarah Projek PLB Green Solar, Mohd. Ramsyah Ismail, wakil Affin Bank dan Sime Darby.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang berharap lebih banyak lagi ladang solar dibuka di Pulau Pinang, selepas ladang solar sulung PLB Green Solar ini.

Sebelum itu, Mohd. Ramsyah menyatakan bahawa kos keseluruhan projek ladang solar Byram tersebut adalah sebanyak RM105 juta, dengan memajak tanah milik Sime Darby serta mendapat pinjaman mudah Affin Bank.

Tambah beliau, PLB Green Solar sebagai firma subsidiari kepada PLB Engineering Berhad berharap inisiatifnya membangunkan ladang solar tersebut turut menyumbang kepada sasaran Kerajaan Persekutuan pada tahun 2020 iaitu 20 peratus elektrik di negara adalah dijana daripada sumber RE.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : LAW SUUN TING