Lagi bukti Kerajaan Negeri hari ini tidak pernah pinggirkan kawasan luar bandar

KETUA Menteri

SUNGAI ACHEH – Dengan siapnya projek pembinaan gelanggang bola keranjang dan trek riadah bernilai RM239,776.95 di Sungai Udang, ia akan menjadi satu lagi rekod komitmen Kerajaan Negeri hari ini yang tidak pernah meminggirkan aspek pembangunan di kawasan luar bandar.

ANTARA barisan pemimpin yang menyertai Ketua Menteri semasa majlis berkaitan bersempena Jelajah ❤️Penang ke Nibong Tebal di gelanggang bola keranjang baharu dekat Sungai Udang di sini tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa melawat projek tersebut di Sungai Udang sempena Jelajah ❤️PENANG Ke Parlimen Nibong Tebal di sini pada 2 Ogos 2022.

“Lawatan saya di sini hari ini adalah sebahagian daripada siri Jelajah ❤️PENANG ke seluruh Parlimen di negeri ini.

“Parlimen Nibong Tebal merupakan yang kelima selepas Bukit Bendera; Permatang Pauh; Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

“Antara misi lawatan ini adalah bagi mengeratkan lagi hubungan antara pentadbiran pada peringkat kerajaan dan akar umbi termasuk bertemu dengan rakyat,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

BARISAN pemimpin peringkat komuniti merakamkan gambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri di gelanggang bola keranjang yang baharu dekat Sungai Udang.

Berucap sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik yang juga ‘ADUN Angkat’ Sungai Acheh merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri terutama Perbadanan Ketua Menteri (CMI) kerana menyumbang sebidang tanah untuk pelaksanaan projek pembinaan gelanggang bola keranjang dan trek rekreasi di sini.

Terdahulu, Kon Yeow turut meluangkan masa kira-kira 30 minit mengunjungi Pusat Akuakultur Sungai Chenaam untuk melihat proses penuaian ikan siakap secara lebih dekat.

Beliau juga diberikan taklimat oleh wakil Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berhubung perancangan bagi meningkatkan lagi hasil laut demi keselamatan bekalan makanan di negeri ini.

ADUN Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai jerayawara Kon Yeow ke Parlimen Nibong Tebal.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS