Lahirkan lebih ramai profesional, tingkat kemahiran

Admin

PERNIAGAAN Anggerik Spa & Beauty yang beroperasi di Lot F08, Tingkat 1, Pasaraya Besar Giant dekat Bayan Lepas bukanlah asing kerana sudah bertapak di lokasi itu sejak 17 tahun yang lalu.

Kini pengasasnya, NORIZA IBRAHIM, 53, bertindak mengembangkan lagi perniagaan sedia ada dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan bayi dan ibu berpantang atau confinement di sekitar Pulau Pinang dan negeri di wilayah utara.

Baru-baru ini, beliau yang lebih mesra disapa sebagai Kak Liza turut mengambil bahagian sebagai salah seorang peserta Program Mentor Usahawan Wanita Pulau Pinang 3.0 (PWEMP 3.0) yang berlangsung selama empat bulan mulai Ogos hingga November 2022.

Perkhidmatan penjagaan bayi dan ibu berpantang

Bercakap kepada wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD, Noriza menjelaskan bahawa penyertaan beliau dalam program PWEMP 3.0 anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) adalah untuk membantu melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang berkaitan.

PREMIS perniagaan yang terletak di Pasaraya Besar Giant dekat Bayan Lepas.

“Semasa saya sertai program ini, saya dapati bahawa di negeri Pulau Pinang sebenarnya ramai yang terlibat dalam bidang penjagaan bayi dan ibu berpantang tetapi mereka tidak menjalankan perkhidmatan ini secara profesional.

“Maksudnya, mereka masih mengamalkan cara tradisional dengan memberikan perkhidmatan dari rumah ke rumah dan masih menggunakan tanaman serta herba-herba yang belum diproses sebagai produk penjagaan kesihatan.

“Ini bukan bermakna cara tradisional itu sudah tidak relevan tetapi cara tersebut akan menyukarkan pengusaha sekiranya dia hendak mengembangkan perniagaan ke lokasi yang lebih jauh seperti di luar negara,” ujarnya yang mempunyai diploma dalam Perubatan Alternatif dari Indian Board of Alternative Medicines.

Noriza berkata, untuk memulakan penyediaan perkhidmatan penjagaan bayi dan ibu selepas bersalin tidaklah sesukar cabang perniagaan biasa kerana ia boleh dijalankan secara bergerak serta tidak memerlukan premis tetap.

“Paling penting adalah seseorang itu perlu mempunyai sijil kemahiran dan perniagaan mesti berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan aspek keselamatan pelanggan terjamin.

“Selain itu, mereka yang mahu terlibat dalam perniagaan ini perlu mempunyai kemahiran dalam pemasaran kerana pasaran untuk penjagaan ibu selepas bersalin adalah amat luas dan mudah berkembang.

PAKEJ-pakej yang ditawarkan.

“Sebab itu, dalam program PWEMP 3.0 baru-baru ini, saya amat menekankan aspek pemasaran kepada para peserta kerana kemahiran lain seperti urutan, penggunaan herba adalah bergantung kepada kebolehan setiap individu,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh pandemic COVID-19, Noriza menyatakan bahawa perkhidmatan penjagaan bayi dan ibu bersalin antara yang tidak dibenarkan kerana ia melibatkan sentuhan.

Oleh itu menurut beliau, bagi meneruskan perniagaan termasuk menampung sewaan premis bagi Anggerik Spa & Beauty, beliau menyediakan perkhidmatan di hospital-hospital swasta seperti Hospital Pantai.

“Inilah pentingnya untuk kita tingkatkan kemahiran sehingga ke tahap professional kerana apabila berlaku situasi seperti pandemik yang menghalang aktiviti ini diteruskan, kita masih boleh memberikan perkhidmatan di pusat jagaan ibu bersalin yang sah atau hospital swasta,” katanya.

Anggerik Spa & Beauty

Walaupun semakin sibuk dengan perniagaan penjagaan bayi dan ibu selepas bersalin ekoran permintaan yang semakin tinggi, Noriza memberitahu bahawa perniagaan spa dan urutan badan masih lagi diteruskan.

“Perniagaan spa masih berjalan seperti biasa dan dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan pelanggan juga tidak putus-putus datang ke sini.

“Untuk Anggerik Spa & Beauty, kami bukan sahaja menyediakan perkhidmatan urutan dan kecantikan tetapi juga memberi perkhidmatan urutan kepada bayi, mengajar teknik penyusuan yang betul selain urutan untuk memperbanyakkan susu ibu.

“Kami juga menyediakan peluang latihan khususnya kepada pelajar dari institut-institusi yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang mana pelatih akan menjalani latihan di sini selama beberapa bulan.

PELATIH-pelatih yang menjalani latihan di Anggerik Spa & Beauty.

“Boleh dikatakan setiap bulan memang akan ada pelajar yang datang untuk menjalani latihan di sini,” ujarnya lanjut.

Menyentuh mengenai harapan terhadap kedua-dua cabang perniagaan yang diusahakannya itu, Noriza berkata bahawa beliau berhasrat untuk mengembangkan perniagaan Anggerik Spa & Beauty dan penjagaan bayi serta ibu selepas bersalin ke seluruh negara.

“Saya juga berhasrat untuk menghasilkan produk sendiri yang menggunakan herba-herba tradisional kerana sekarang saya hanya mampu menghasilkan minyak untuk urutan sahaja,” katanya menutup bicara.

Difahamkan, perniagaan Anggerik Spa & Beauty dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan hanya ditutup pada cuti umum.

Maklumat lanjut mengenai pakej- pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan di Anggerik Spa & Beauty boleh hubungi talian 017-493 3578/ 04-644 0355.