Laksana dasar tukang masak tempatan pertahan keaslian masakan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING & MPPP

GEORGE TOWN – Asam laksa, char kuetiau, mee Hokkien, mee sotong, kuetiau t’hing, chee cheong fun, mee wantan, mee kari dan pasembor antara makanan jalanan tempatan yang cukup sinonim dengan Pulau Pinang.

Malah, asam laksa turut tersenarai di kedudukan ke-tujuh dalam CNN’s World 50 Most Delicious Food dan Pulau Pinang diiktiraf sebagai Best Street Food in Asia oleh Time Magazine, selain dipilih sebagai destinasi pelancongan makanan global ketiga terbaik di dunia oleh VirtualTourism.com.

Oleh demikian, bagi menjamin reputasi tersebut agar terus dipertingkatkan dan berkekalan, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memberi pengiktirafan kepada penjaja yang memelihara keaslian masakan tempatan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri kini dalam usaha merangka Dasar Larangan Warga Asing Memasak Masakan Tempatan Pulau Pinang bagi menjamin keselamatan makanan dan kesihatan orang ramai dengan memperkenalkan larangan pengambilan warga asing sebagai tukang masak untuk makanan tempatan.

“Ramai yang bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri untuk tidak membenarkan warga asing memasak makanan warisan supaya kita (Pulau Pinang) dapat mempertahankan warisan, rasa serta keaslian masakan tempatan.

“Kita hanya akan membenarkan warga tempatan, tidak kira sama ada dari Pulau Pinang atau mana-mana negeri dalam Malaysia untuk memasak makanan tempatan dan bukannya warga asing yang tidak arif tentang rasa dan keaslian masakan tempatan.

“Imej Pulau Pinang akan hilang jika kita membenarkan warga asing memasak makanan tempatan yang ada,” katanya yang hadir pada Majlis Pelancaran Tagline Penang Street Food di Pusat Penjaja Anjung Gurney di sini barubaru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey; Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye serta

Ahli-ahli Majlis MPPP turut hadir pada majlis tersebut.

Jelas Guan Eng, MPPP juga telah melaksanakan kajian lapangan berkaitan masakan tempatan melalui bancian dan secara atas talian dengan melibatkan 14,810 responden pada 25 Julai sehingga 31 Ogos 2014 lalu.

Hasilnya, beliau memberitahu, seramai 12,952 responden atau 87.45 peratus bersetuju bahawa makanan tempatan perlu dimasak oleh orang tempatan, manakala baki 1,858 responden sahaja tidak bersetuju.

“Ini sekali lagi membuktikan bahawa majoriti bersetuju dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk hanya mengiktiraf penjaja tempatan yang menggunakan tukang masak orang tempatan.

“Buat masa ini, belum ada mekanisme terperinci lagi, tapi kita tetap akan melaksanakannya pada masa depan kerana Penang Street Food adalah makanan Penang, jamin tempatan, jamin hebat, best!,” katanya yang turut melawat ke beberapa buah gerai penjaja tempatan untuk diberikan pelekat khas ‘Tagline Penang Street Food’.} else {