PADANG KOTA – Penguatkuasaan undang-undang anti buang sampah lebih ketat di Pulau Pinang hanya akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2026, kata Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran.
Beliau berkata, langkah itu adalah untuk memberi laluan kepada proses memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) sepertimana dinyatakan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye baru-baru ini.
“SOP antara MBPP dan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) sedang diselaraskan, kita juga perlu wartakan undang-undang kecil dan sebagainya sebelum pelaksanaannya.
“Jadi, seperti yang diumumkan oleh Exco (Mooi Lye) ia hanya akan dilaksanakan selaras dengan peruntukan KPKT pada 1 Julai nanti,” ujar beliau dalam satu sidang media di Dewan Bandaraya MBPP di sini pagi tadi.
Selain itu, difahamkan penangguhan itu juga sebagai langkah untuk melaksanakan pendidikan awam sebelum tindakan tegas dikenakan.
Ditanya mengenai pengambilan tukang masak warga asing di premis makanan persendirian, MBPP tidak bercadang melaksanakan sebarang bentuk undang-undang untuk isu tersebut.
“Saya melihat pemilik-pemilik premis makanan persendirian, hotel sememangnya memerlukan kepakaran warga asing sebagai tukang masak.
“Oleh itu, kita tidak bercadang untuk mengenakan sebarang peruntukan undang-undang ke atas perkara itu,” jelasnya lagi.
Sebelum ini pada 1 Julai 2016, Pulau Pinang melarang pengambilan warga asing sebagai tukang masak bagi 13 jenis masakan tradisi tempatan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN