Laluan basikal dalam lima tahun

Oleh: ZULIANA AZIZ

KETUA Menteri dan Yang diPertua MPPP, Ar. Patahiyah Ismail (tengah) menunjukkan peta berhubung cadangan laluan basikal di bahagian pulau, Pulau Pinang.
KETUA Menteri dan Yang diPertua MPPP, Ar. Patahiyah Ismail (tengah) menunjukkan peta berhubung cadangan laluan basikal di bahagian pulau, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Berita baik untuk penggemar aktiviti berbasikal! Ini kerana, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bakal mewujudkan laluan basikal bagi memudahkan serta menjamin keselamatan pengguna basikal di jalan-jalan utama yang sememangnya sesak dengan kenderaan berat terutama pada waktu puncak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, cadangan pembinaan laluan basikal ini akan mengambil masa kira-kira lima tahun minimum untuk siap sepenuhnya. Manakala jumlah panjang keseluruhan laluan basikal di bahagian pulau, Pulau Pinang adalah kira-kira 180 km.

Beliau menambah, terdapat tiga kategori laluan basikal iaitu laluan basikal yang disediakan secara berasingan dengan kenderaan bermotor ; laluan basikal yang disediakan di atas jalan (carriageway) dengan lorong berasingan dan laluan basikal yang disediakan di atas jalan (carriageway) tanpa lorong berasingan.

“Walau bagaimanapun, bagi kategori ketiga, ianya bergantung kepada kelebaran jalan minima iaitu empat meter dan kebanyakan jalan di Pulau Pinang mempunyai kelebaran yang terhad serta terdapat petak-petak letak kenderaan,’’ katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa, buat masa ini, laluan yang dicadangkan adalah di kawasan pulau sahaja. Bagi kawasan seberang, cadangan laluan akan dibincangkan kemudian.

“Pelbagai faktor harus diambil kira termasuk kelebaran jalan, jumlah kapasiti pengguna jalan raya dan jalan-jalan yang dirasakan sesuai untuk mewujudkan laluan basikal yang dicadangkan,’’ jelas beliau.