Laluan basikal dekat The Light dijangka tutup sehingga Julai

SERI DELIMA – Lorong basikal dan pejalan kaki di sebahagian Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan jejambat baharu.

 

 

Menurut Penasihat IJM Land Berhad, Datuk Toh Chin Leong, bahagian terlibat adalah berhadapan projek The Light by IJM sehingga laluan bertentangan pasar raya Lotus’s Jelutong.

 

 

“Kami (IJM) jangkakan petutupan ini akan berlaku sehingga bulan Julai tahun ini sebelum satu laluan basikal sementara akan dibina di kawasan berhampiran.

 

 

“Penutupan ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan dan faktor keselamatan, kami memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan kebenaran bina laluan sementara berikutan cadangan tersebut memasuki tanah milik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” ujar Chin Leong dalam satu sidang media di berhadapan The Light di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Infrastruktur Pulau Pinang (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus dan Pengurus Besar IJM Land Berhad Wilayah Utara, Goh Su Yin.

 

 

Difahamkan, sebahagian laluan kenderaan di lebuh raya tersebut yang terlibat dengan pembinaan turut akan ditutup dari jam 10 malam hingga 5 pagi bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan jejambat berkaitan.

 

 

Mengulas lanjut, Chin Leong berkata, selepas kerja-kerja tersebut siap, IJM akan ‘menggantikan’ laluan basikal dan pejalan kaki secara kekal dengan panorama lebih menarik di persiaran The Light by IJM yang sedang dalam pembinaan.

 

 

Sementara itu, Zairil memberitahu bahawa kerja-kerja di kawasan terbabit turut melibatkan sebahagian Seksyen 6, Pakej 2 pembinaan lebuh raya pintasan Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

 

 

“Seksyen 6 Pakej 2 ini adalah di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu yang mana pembinaan jejambat keluar masuk yang turut melibatkan pusingan U bertingkat.

 

 

“Kawasan yang terlibat adalah di antara bangunan Jabatan Laut ke  bangunan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (KD Sri Pinang) manakala pusingan U sepanjang 870 meter akan dibina di laluan ke arah Bayan Lepas (berhampiran Jambatan Pulau Pinang).

 

 

“Keseluruhan Pakej 2 pintasan Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dijangka siap pada awal tahun 2025,” jelasnya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD