Laluan basikal Sg. Pinang, wujudkan peralihan mod pengangkutan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING & SHUM JIAN WEI

 

GEORGE TOWN – Sebanyak RM4.6 juta diperuntukan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi membina jambatan basikal sepanjang 1.1 kilometer (km) merentasi Sungai Pinang menuju ke pusat bandar di sini baru-baru ini.

Pelancaran tersebut adalah seiring dengan inisiatif Kerajaan Negeri dalam mewujudkan suatu peralihan mod pengangkutan lain bagi menangani masalah kesesakan trafik di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek tersebut melibatkan jambatan basikal dan laluan pejalan kaki merentasi Sungai Pinang berserta lorong (basikal) berdedikasi khas sepanjang 1.55km keseluruhannya.

“Sebahagian daripada laluan ini (di atas tanah) iaitu sepanjang 450 meter (m) adalah dibiayai syarikat swasta dengan nilai RM100,000.

“ Ini menjadikan kos keseluruhan sebanyak RM4.7 juta,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Laluan Basikal Dedikasi Dari Sungai Pinang ke Pusat Bandar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Yang di-Pertua MPPP, Dato’ Patahiyah Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

Tambah Guan Eng, pengimplementasian tersebut adalah sebahagian daripada projek laluan basikal sejauh 12.5km yang telah dirancang MPPP dengan kerjasama bersama pihak pemaju sebelum ini.

“Laluan ini telah hampir dilengkapkan.

“Ia bermula dari pusat membeli-belah Queensbay (Bayan Baru) dan menyusur melalui kawasan pantai timur pulau menuju ke pusat bandar George Town,” jelas beliau.

Dalam pada itu, katanya, setakat ini , MPPP telah menyediakan koridor laluan basikal berasingan iaitu di kawasan Zon Warisan, Persiaran Gurney ke Teluk Bahang dan Teluk Bahang ke Bayan Lepas.

“Manakala, Eco Bike Trail di kawasan Balik Pulau pula meliputi kawasan bendang padi, perkampungan dan tepi laut sejauh 20km,’’ ujar Guan Eng.