Lesenkan perniagaan pastikan aktiviti sah – Pengarah Pelesenan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Menurut Pengarah Bahagian Pelesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Azman Sirun, penetapan syarat-syarat dalam melesenkan aktiviti perniagaan adalah bertujuan memastikan aktiviti tersebut dijalankan dengan sah selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPPP 1991 di sini.

Katanya, Undang-Undang Kecil tersebut adalah bagi memastikan aktiviti perniagaan dapat dikawal selia di samping memastikan kualiti perniagaan terpelihara.

Secara umumnya, terdapat tiga kategori lesen yang dikeluarkan MPPP, iaitu Lesen Pelbagai Tred, Lesen Gerai dan Penjaja serta Lesen Perniagaan Kecil. “Kini, bagi Lesen Gerai dan Penjaja, pemberian (lesen) hanya dijalankan melalui temuduga terbuka yang diadakan sekurangkurangnya sebulan sekali.

“Temuduga terbuka ini dijalankan sebulan sekali dan akan dihebahkan melalui media cetak, papan notis serta portal rasmi MPPP iaitu tarikh dua minggu sebelum proses temuduga dibuat.

“Namun, kejayaan permohonan adalah bergantung kepada jumlah dan keperluan kekosongan yang terdapat di gerai pasar, tapak penjaja sementara ataupun kompleks-kompleks milik Majlis,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Azman memberitahu, pengendalian prosedur berbeza diperlukan bagi kategori Lesen Pelbagai Tred yang dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil Establishment Makanan MPPP 1991.

“Bagi lesen ini (Pelbagai Tred), dokumen terperinci dan pemeriksaan menyeluruh perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan permohonan dibuat dalam tempoh sekurangnya 28 hari bekerja. Lesen ini termasuklah untuk aktiviti berisiko seperti rumah urut, bar, premis hiburan dan sebagainya.

“Pemohon perlu menyediakan dokumen terperinci seperti pelan lakaran lokasi terlibat, pelan lantai, gambar premis dan salinan kebenaran bangunan/tuan tanah untuk tujuan pemprosesan lesen,’’ jelasnya.

Tambah beliau, mengikut prosedur, sebelum sebarang keputusan permohonan dilulus ataupun ditolak, premis akan diperiksa terlebih dahulu oleh pegawai Majlis dan ulasan daripada Jabatan Teknikal diperlukan.

“Kemudian, ia akan dibentangkan untuk pertimbangan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kesihatan Awam dalam tempoh seminggu sebelum surat kelulusan dan lesen bersyarat dikeluarkan,” katanya.

Tambah Azman, pemantauan berskala sekurangnya dua kali setahun akan dilakukan bagi memastikan lesen dikeluarkan mengikut garis panduan sepenuhnya.

Ketika ditanya berhubung kediaman atau bangunan komersial yang ditukar kepada perniagaan, Azman menyatakan bahawa penukaran kediaman kepada kegunaan lain adalah di luar bidang kuasa Bahagian Pelesenan, sebaliknya, perkara tersebut adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Bangunan MPPP.

Bagi maklumat lanjut, layari portal www. mppp.gov.my atau hubungi Bahagian Pelesenan di talian 04 – 263 8818.