Laluan kanopi bakal tarik lebih ramai pengunjung ke Bukit Bendera

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

AIR PUTIH – Laluan kanopi merentasi pokok-pokok hutan belantara tropika di puncak Bukit Bendera kini dibuka kepada pengunjung tempatan serta pelancong asing.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan fasa kedua projek The Habitat tersebut berkata, laluan kanopi itu akan menambahkan lagi daya tarikan pengunjung sedunia ke negeri ini.

“Tahun lepas, The Habitat juga menjadi tempat utama untuk acara unik apabila ia menganjurkan beberapa fungsi di Curtis Crest Tree Top Walk, lokasi melihat pemandangan 360 darjah tertinggi di Pulau Pinang.

“Ini termasuk fungsi Cocktail Sunset membabitkan lebih 100 perwakilan dari World Travel Mart yang diadakan di Pulau Pinang pada April 2017; Penang Hill BioBlitz Appreciation Dinner pada Oktober 2017 sebagai meraikan kira-kira 100 saintis, peserta serta tetamu yang mengambil bahagian dalam Ekspedisi Biodiversiti The Habitat ke hutan hujan tropika Pulau Pinang.

“Kepada mereka yang melabur dalam fasa kedua projek The Habitat ini, saya dapat merasai betapa kuatnya komitmen pihak-pihak berkaitan untuk menjadikan Pulau Pinang, khususnya Bukit Bendera ini sebagai lokasi ekopelancongan antara yang paling menarik di dunia, dengan pembukaan laluan kanopi kepada orang awam ini,” ucapnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Fasa II Laluan Kanopi The Habitat di sini baru-baru ini.

Laluan kanopi tersebut adalah sepanjang kira-kira 230 meter (m) termasuk 115 m jambatan yang merentasi kawasan hutan, berada di ketinggian hampir 800 kaki dari paras laut.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri tidak sabar menanti pelancaran Fasa III projek The Habitat, The Habitat Aerial Trail atau ZipLines, yang dijangka dibuka pada akhir tahun ini.

Selain beliau, Pengasas bersama The Habitat, Harry Cockrell dan anaknya, Reza Cockrell; Ahli Parlimen\ Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus turut sertai majlis itu.

Ketika berucap, Reza menyatakan bahawa misi The Habitat adalah untuk memulihara kepelbagaian biodiversiti melalui pendidikan, penyelidikan serta pelancongan lestari, dan infrastruktur yang direka bentuk untuk membawa orang kembali ke hutan, demi menyambung semula keprihatinan mereka dengan alam semula jadi.

“Diharapkan umum akan terinspirasi untuk mempercayai kemampuan mereka sendiri dalam membantu memulihara alam semula jadi,” ujarnya sambil memberitahu bahawa potongan yuran masuk 50 peratus akan diberikan kepada pemegang kad pengenalan MyKad ke sini.