PEMBUKAAN laluan penerbangan terus antara Batam, Indonesia dengan Pulau Pinang dijangka membuka peluang ekonomi baharu dalam sektor pelancongan, perniagaan dan pelancongan kesihatan menerusi peningkatan kesalinghubungan udara antara kedua-dua destinasi.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, laluan baharu yang mula beroperasi pada 18 Oktober 2026 itu turut memperluas pasaran pelancongan Pulau Pinang ke Kepulauan Riau, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pelancong Indonesia menerokai tarikan yang ditawarkan negeri ini.
“Dengan kesalinghubungan udara yang lebih baik, kita berharap lebih ramai pelawat dari Batam dan kawasan sekitarnya akan berkunjung ke Pulau Pinang untuk menikmati kepelbagaian tarikan pelancongan, termasuk warisan, kebudayaan, makanan dan tempat-tempat menarik.
“Perbelanjaan mereka dijangka memberi manfaat kepada ekosistem pelancongan negeri, termasuk sektor penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, perkhidmatan pelancongan serta peruncitan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sebelum ini turut bekerjasama dengan Batik Air bagi merealisasikan pembukaan laluan berkenaan menerusi sokongan, penyelarasan dan usaha promosi, tanpa memperincikan jumlah pelaburan yang diperlukan.
Mengulas lanjut, Hon Wai memberitahu bahawa Kerajaan Negeri optimis laluan tersebut mampu menarik lebih ramai pelawat dari Indonesia dengan menjadikan perjalanan ke Pulau Pinang lebih mudah dan selesa.
“Dengan penambahan laluan Batam, Pulau Pinang kini menerima sejumlah 85 penerbangan terus berjadual setiap minggu dari Indonesia, merangkumi 42 penerbangan dari Medan, 31 dari Jakarta, lima dari Surabaya, empat dari Banda Aceh dan tiga dari Batam.
“Indonesia kekal sebagai pasaran pelawat antarabangsa utama Pulau Pinang, dengan sebanyak 270,290 ketibaan penumpang dari Indonesia direkodkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026,” katanya.




Sehubungan itu, beliau berkata, laluan baharu tersebut menyediakan satu lagi pintu masuk berpotensi untuk memperluas pasaran pelancongan negeri, di samping membuka ruang kerjasama yang lebih erat antara pemain industri pelancongan Pulau Pinang dan Batam.
“Sebelum pelancaran laluan berkenaan, Kerajaan Negeri turut mengetuai delegasi pemain industri pelancongan Pulau Pinang ke Batam pada awal Oktober bagi menjayakan jerayawara pelancongan bertemakan Not the Penang That You Know, atau ‘Pulau Pinang Yang Betul Lain Macam’ dalam bahasa Melayu dan Penang Beda Banget dalam bahasa Indonesia.
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran pasaran, menghubungkan pemain industri pelancongan kedua-dua destinasi serta membuka peluang kerjasama perniagaan untuk jangka panjang,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Hon Wai berkata, sektor pelancongan kesihatan juga berpotensi mendapat manfaat daripada penambahan laluan udara tersebut, memandangkan Indonesia merupakan antara pasaran utama pelancong kesihatan Pulau Pinang.
Menurut beliau, data Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) menunjukkan Pulau Pinang menerima kira-kira 285,400 pelancong kesihatan pada separuh pertama 2026, dengan pendapatan pelancongan penjagaan kesihatan berjumlah RM601.8 juta.
Beliau menjelaskan bahawa angka berkenaan hanya melibatkan hospital dan tidak merangkumi penyedia perkhidmatan kesihatan lain seperti klinik pergigian, makmal klinikal, pusat diagnostik dan farmasi.
“Dengan adanya penerbangan terus dari Batam, kita mempunyai satu lagi laluan untuk mendekati bakal pelancong kesihatan dari Kepulauan Riau, sekali gus membuka peluang kepada hospital, penyedia perkhidmatan perubatan dan rantaian bekalan penjagaan kesihatan untuk mendapat manfaat.
“Selain perbelanjaan bagi rawatan, pelancong kesihatan juga berpotensi menyumbang kepada sektor penginapan, pengangkutan, makanan dan perkhidmatan lain di Pulau Pinang,” katanya.
Walau bagaimanapun, Hon Wai memaklumkan bahawa masih terlalu awal untuk menetapkan unjuran jumlah penumpang bagi tahun pertama operasi memandangkan laluan tersebut baru dilancarkan.
“Kejayaan laluan berkenaan bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah penumpang, sebaliknya turut mengambil kira kadar muatan penumpang, pertumbuhan ketibaan pelawat Indonesia, perbelanjaan pelancong, tempoh penginapan serta manfaat yang diterima oleh perniagaan tempatan.
“Keutamaan kita adalah memastikan peningkatan kesalinghubungan ini diterjemahkan kepada ketibaan pelawat sebenar, manfaat ekonomi yang bermakna, kerjasama industri yang lebih kukuh dan permintaan berterusan bagi menyokong kelangsungan laluan ini dalam jangka panjang,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Batik Air serta pemain industri pelancongan dari Batam dan Pulau Pinang bagi menyediakan sokongan serta menyelaras usaha yang diperlukan untuk memastikan laluan tersebut berkembang secara mampan.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN