Lampu ketupat, bulan dan bintang hiasi Jalan Masjid Negeri

Admin
whatsapp image 2024 04 03 at 13.33.59 f74531cd

SERI DELIMA – Lebih 1,000 unit lampu hiasan berbentuk ketupat, bulan dan bintang sepanjang 500 meter setiap satu menghiasi laluan di sepanjang Jalan Masjid Negeri bukan sahaja menceriakan malah menyemarakkan lagi suasana menyambut Aidilfitri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng berkata, pemasangan lampu hiasan untuk perayaan itu merupakan kali pertama dilakukan di Jalan Masjid Negeri.

whatsapp image 2024 04 03 at 1.33.48 pm (1)
CONNIE Tan Hooi Peng menunjukkan salah satu dekorasi lampu raya di jejantas dekat Jalan Masjid Negeri.

“Memandangkan Jalan Masjid Negeri merupakan jalan utama dan sentiasa sibuk, maka pemasangan lampu hiasan ini akan menambahkan suasana ceria di sepanjang laluan ini menjelang Aidilfitri.

“Terima kasih kepada pihak DS Asia Group yang memberi tajaan dan sokongan di bawah tanggungjawab sosial korporat untuk menjayakan pemasangan lampu hiasan ini.

“Kerja-kerja pemasangan lampu hiasan ini memakan masa selama dua hari dan akan selesai keesokan harinya,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media di sini pagi ini.

Hadir sama, wakil Pengarah Eksekutif DS Asia Group, Jack Loh; Pengarah DS Asia Group, Ooi Surk Chean dan beberapa wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Menurut Hooi Peng, beliau akan meneruskan tradisi pemasangan lampu hiasan di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima bagi setiap perayaan utama yang disambut untuk menceriakan suasana sambutan.

“Sebelum ini, DS Asia Group juga telah memberi tajaan bagi (pemasangan lampu hiasan) sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang mana sebanyak 650 lampu berbentuk tanglung telah dipasang,” katanya.

Difahamkan, anggaran kos untuk pemasangan lampu hiasan tersebut adalah sebanyak RM 82,000.

Oleh : NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR