Lanjut tempoh bayar cukai taksiran hingga Disember, tanpa denda – Datuk Bandar MBSP

SR. Rozali Mohamud

SEBERANG JAYA – Bersempena sambutan ulang tahun ke-2 Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), tempoh pembayaran cukai taksiran akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini tanpa dikenakan sebarang denda.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata pentadbirannya berharap pakej bantuan tersebut dapat mengurangkan beban penduduk lokal serta para pemegang taruh yang sebelum ini mungkin terjejas dek pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di samping itu, katanya MBSP turut menganjurkan Klinik Tunggakan Cukai Taksiran Khas 2021 bermula 17 September hingga 15 November 2021 dengan menawarkan bantuan konsultasi untuk mencari kaedah bersesuaian bagi mereka yang ingin melangsaikan tunggakan.

“(Selain itu, turut ditawarkan) diskaun kompaun bagi kesemua kesalahan mulai 16 September hingga 31 Disember; yang mana kompaun parkir dikenakan bayaran RM10 atas satu kesalahan manakala kompaun lain dikurangkan 50 peratus,” jelasnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis di Dewan Kenanga, dekat Menara Bandaraya pada 28 September 2021.

Pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Badarul Amin Abdul Hamid; serta beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Buletin Mutiara difahamkan, mereka yang mahu menyertai Klinik Tunggakan Cukai Taksiran Khas 2021 mestilah terlebih dahulu membuat janji temu secara dalam talian menerusi pautan https://www.picktime.com/mbsp.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali turut mengumumkan insentif bantuan kepada penjaja dan peniaga yang berurusan dengan MBSP, sebagaimana diluluskan pada peringkat Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Insentif yang dimaksudkan, menurutnya, termasuk pengecualian membayar sewa premis komersial seperti kompleks makanan dan pasar awam milik MBSP bermula Oktober ini hingga Disember depan.

Menurutnya lagi, penganjur pasar malam, pasar pagi, pasar minggu dan pasar tani turut akan diberikan pengecualian membayar permit penganjuran selama setahun untuk tahun 2021.

“Saya dengan berbesar hati mengumumkan serta menawarkan pakej-pakej bantuan ini dan segera rebut peluang ini,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MBSP