MBSP hebah kaedah luput kit ujian kendiri COVID-19 di rumah

SR. Rozali Mohamud (depan) diiringi Baderul Amin Abdul Hamid (belakangan, kiri sekali) serta tiga Ahli Majlis MBSP lain dalam sidang media ringkas di Menara Bandaraya pada pagi ini.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menganggarkan sebanyak 7.2 tan sisa domestik telah dilupuskan bersama-sama 300 unit kit ujian kendiri COVID-19 setiap hari bagi individu-individu yang diarah untuk menjalankan kuarantindi rumah.

Mengumumkan perkara itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata ia tidak termasuk sisa kit ujian kendiri yang dibuat oleh individu- individu yang tidak diarah menjalani kuarantin di rumah yang dianggarkan sebanyak 200 unit setiap hari.

Justeru, beliau membuat hebahan mengenai kaedah pelupusan sisa kit ujian kendiri COVID-19 di rumah dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pada 28 Julai 2021.

“Berdasarkan laporan dan penelitian di tapak, didapati banyak penggunaan kit ujian kendiri COVID-19 telah diguna pakai dan dilupuskan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Kebanyakan sisa kit ujian kendiri COVID-19 dimasukkan terus ke dalam plastik sisa domestik tanpa dimasukkan ke dalam plastik yang lain terlebih dahulu.

“Keadaan ini menyebabkan risiko jangkitan COVID-19 kepada pekerja MBSP yang menjalankan kerja-kerja pemungutan sampah di kawasan Seberang Perai,” jelasnya.

Pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid dan beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Berikut adalah tatacara pelupusan sisa kit ujian kendiri COVID-19;

a) Memastikan semua alatan Kit Ujian Kendiri COVID-19 dimasukkan ke dalam plastik dan diikat dengan sempurna.

b) Melupuskan plastik yang mengandungi kit ini ke dalam plastik yang diikat dan memasukkan ke dalam tong sampah.

c) Menjalankan disinfeksi kawasan prosedur ujian kendiri dengan larutan disinfeksi yang bersesuaian selepas prosedur pengujian.

d) Mencuci tangan menggunakan sabun dan air selepas selesai menjalankan prosedur ujian kendiri bagi mengelakkan kontaminasi silang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MBSP