Lanjut tempoh pegangan tanah dengan diskaun premium berpatutan demi hargai rakyat, kata Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (tiga dari kiri) bersama-sama Ramkarpal Singh (dua dari kiri), Connie Tan Hooi Ping (kanan sekali) dan Pengerusi MPKK Lengkok Bawah (kiri sekali) menyempurnakan acara nyalaan ‘kuthu vilaku’ sebagai gimik perasmian Rumah Terbuka Deepavali di Taman Kejiranan, Jalan Bunga Raya di sini pada 25 November 2023.

SERI DELIMA – Jika ada permohonan, Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang hari ini sedia mempertimbang untuk melanjutkan pegangan atas tanah sehingga 99 tahun dengan kadar premium yang berpatutan.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihak yang berkenaan dinasihatkan membuat permohonan untuk melanjutkan tempoh pegangan atas tanah sebelum tamat tempoh pajakan.

“Pada tahun ini (2023), kita (Kerajaan Negeri) sudah buat keputusan membenarkan lanjutan tempoh pajakan ini pada semua kategori kegunaan tanah baik kediaman, perniagaan, pertanian, industri, institusi dan sebagainya.

“Tidak perlu tunggu tempoh pegangan genap 60 tahun atau 99 tahun, baru membuat permohonan yang mana walaupun ada baki pegangan 20 atau 30 tahun, boleh untuk memohon melanjutkan tempoh pegangan,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2023 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima di Taman Kejiranan, Jalan Bunga Raya dekat sini pada 25 November 2023.

Bagi pegangan kategori kediaman, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa pentadbirannya memutuskan untuk memberi diskaun pada kadar 90 peratus atas nilai semasa tanah sahaja.

“Bagi hartanah (kategori kediaman) di sini dinilai pada harga RM300,000, dengan pegangan 99 tahun yang berbaki 20 tahun lagi, katakan dinilaikan RM60,000, pengiraannya adalah RM300,000 ditolak dengan RM60,000, menjadi RM240,000.

“Jadi diskaun 90 peratus adalah daripada RM240,000 itu, maksudnya kalian perlu membayar 10 peratus (daripada nilai premium tanah) atau RM24,000,” ujarnya sambil memberitahu bahawa kaedah pembayaran boleh dibuat secara ansuran dalam tempoh sehingga tiga tahun.

Tambah beliau, diskaun 90 peratus atas nilai pegangan tanah turut diberikan bagi kategori pertanian yang dilanjutkan, begitu juga kategori komersial (diskaun 80 peratus).

“Bagi pegangan tanah kategori industri yang mahu dilanjutkan, tertakluk pada syarat-syarat tertentu dengan pemberian diskaun antara 50 peratus hingga 70 peratus,” ulasnya lanjut sambil memberitahu bahawa keputusan melanjutkan tempoh pegangan itu adalah sebagai penghargaan kepada rakyat berkenaan yang memainkan peranan dalam pembangunan Pulau Pinang.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menzahirkan rasa kagum atas semangat muhibah yang ditunjukkan oleh penduduk lokal dalam menjayakan Majlis Rumah Terbuka Deepavali di sini tadi.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana pada tahun lepas telahpun melanjutkan tempoh pegangan tanah beberapa kategori hartanah di sini dari 60 tahun kepada 99 tahun.

Sementara itu, ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Ping pula menyatakan bahawa beliau akan terus berusaha meningkatkan daya huni penduduk lokal berdasarkan Visi Penang2030 yang digagaskan oleh Kon Yeow sendiri.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada sekalian anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lengkok Bawah, Pusat Khidmat Rakyat Kawasan KADUN Seri Delima dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bukit Gelugor yang bertungkus-lumus menjayakan Majlis Rumah Terbuka Deepavali di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : ALISSALA THIAN