Lapan atlet negeri terima SKIMAS

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow tengah hari tadi menyerahkan Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) kepada lapan atlet negeri yang menyumbang pingat dalam kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA Games) di Filipina pada 30 November hingga 11 Disember 2019.

Bercakap kepada pemberita, beliau berharap insentif tersebut memberi motivasi serta membakar semangat para atlet negeri untuk memburu kejuaraan, sekaligus mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia.

“Insentif ini adalah sebagai penghargaan dan galakan (Kerajaan Negeri) Pulau Pinang kepada para atlet yang telah berusaha serta berkorban bagi mencapai prestasi terbaik  demi Pulau Pinang, negara dan bangsa,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi kepada pemberitahu, selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Komtar pada 4 Mac 2020.

Bercakap pada majlis sama, Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee menyatakan bahawa seramai 70 atlet Pulau Pinang daripada 773 atlet yang mewakili Malaysia pada SEA Games 2019 berjaya menyumbang enam pingat emas, perak (57) dan gangsa (71).

“Saya juga ingin melahirkan perasaan bangga dengan pencapaian atlet-atlet yang telah melakar kejayaan dan senantiasa mengharumkan nama negara,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri menyertai majlis penyampaian SKIMAS kepada para atlet berkenaan.

SKIMAS diperkenalkan pada tahun 2014 telahpun menyalurkan sumbangan insentif kewangan sebanyak RM1,047,300 kepada atlet yang layak.

Penerima SKIMAS seperti gambar jadual berikut:

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN & ALISSALAA THIAN