Laporan lengkap TMP tunggu kelulusan Pusat sahaja, Exco respons PM

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu bahawa laporan lengkap Pelan Induk Pengangkutan (PIP) telah dihantar pada 15 Ogos lepas dan menunggu kelulusan jabatan-jabatan teknikal Kerajaan Persekutuan berwajib sahaja.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Balik Pulau pada 26 Ogos lepas yang memberi jaminan bahawa projek tebus guna tanah bagi membentuk tiga buah pulau buatan di selatan perairan negeri ini tidak akan diluluskan sekiranya menjejaskan kepentingan penduduk dan alam sekitar.

“Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memenuhi segala syarat yang dikenakan ke atas kita, oleh semua jabatan teknikal.

“Dalam DEIA (Laporan Penilaian Terperinci Terhadap Alam Sekitar) ini, kita (Kerajaan Negeri) kemukakan laporan akhir pada 15 Ogos (2017) dan apa yang kita perlu lakukan hanya tunggu kelulusan Pusat sahaja,” ujarnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini 30 Ogos lalu.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan,Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Menurut Kon Yeow, kerja-kerja penambakan laut di Kedah dalam projek Aman Laut melibatkan 123 ekar; di Perak adalah Projek Bagan Datuk (4,100 ekar) dan Perak Heavy Industrial Park (3,400 ekar); projek Selat PD Tebus Guna dekat Negeri Sembilan (tidak diketahui luas kawasan tebus guna tanah); Melaka Gateaway (1,366 ekar) dan di Johor adalah projek R&F Tanjung Puteri (78 ekar), Danga Bay Waterfront City (2,000 ekar), fasa 2 PTP (tidak diketahui luas kawasan tebus guna tanah), Forest City (3,425 ekar), Tanjung Piai Maritime Industrial Park (3,845 ekar) serta TLP Tebus Guna (tidak diketahui luas kawasan tebus guna tanah).

“Sebagai contoh, di Kedah, Projek Aman Laut, (kerja-kerja penambakan laut seluas) 123 ekar, tak ada kelulusan DEIA pun, mereka sudah mulakan (kerja) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 15 Mei barulah mengeluarkan Notis Berhenti Kerja pada projek Aman Laut ini.

“Tapi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan mungkir janji, selagi tidak ada kelulusan DEIA, kerja-kerja penambakan laut tidak akan dilakukan.

“Kita nak tanya, adakah semua projek-projek penambakan laut ini tiada impak kepada alam sekitar, tiada impak kepada nelayan dan tiada impak kepada komuniti sosial, mestinya ada.

“Tetapi, DEIA yang dikemukakan akan mencadangkan langkah-langkah mitigasi supaya apabila penambakan dijalankan,
impak-impak ini dikurangkan pada paras paling minimum…memberi pampasan kepada nelayan yang terlibat dalam permohonan DEIA kepada Kerajaan Persekutuan,” jelasnya sambil merayu Kerajaan Pusat agar lebih adil dengan rancangan pembangunan negeri di Pulau Pinang.