Pakatan Harapan Pulau Pinang jaga semua rakyat

PENAGA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, beliau tidak lagi kisah difitnah oleh Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng, kononnya anti-Cina dan anti-Melayu.

Guan Eng berkata demikian kepada pemberita, selepas berucap serta mengagihkan bungkusan daging mentah halal kepada 300 golongan terpilih sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga, sempena menyambut Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

“Biarkan dia (Teik Cheng) terus memfitnah saya anti-Cina kerana membantu orang Islam.

“Semua sumbangan Emas yang Kerajaan Negeri berikan kepada warga emas, ibu tunggal, pelajar dan sebagainya adalah berdasarkan kelayakan mereka…tidak pernah kita (Kerajaan Negeri) mengambil kira pendirian parti mereka, ataupun bangsa, ataupun agama mereka ketika menyampaikan sumbangan,” jelasnya pada Majlis Sumbangan Hari Raya Aidiladha dan Majlis Makan Tengah Hari KADUN Penaga di sini.

Turut berucap, Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas, Lai Hock Peng serta Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohamad Shaipol Ismail.

Difahamkan, acara sumbangan tahunan berupa daging mentah halal kepada golongan terpilih di Penaga dilaksanakan sejak 2015, menjelang perayaan Aidiladha dan Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri akan menggandakan program-program penerangan kepada rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam, untuk menunjukkan wajah sebenar pemimpin Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang didakwa rasis itu.

Menurut beliau, peruntukan pembangunan hal ehwal agama Islam di negeri ini sejak tahun 2008 hingga 2016 berjumlah RM457.05 juta, dengan peningkatan kira-kira 100 peratus, berbanding RM249.09 juta dalam tempoh 1999 hingga 2007 ketika Kerajaan Negeri di bawah UMNO BN dahulu.

Mengulas lanjut, Guan Eng melahirkan rasa yakin bahawa majoriti rakyat berbilang kaum di negeri ini kian menyedari politik kebencian dan perkauman yang dimainkan pihak pembangkang Pulau Pinang, menjelang musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) belakangan ini.

“Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) jaga semua, baik Melayu, Cina ataupun India, adakah salah?” soalnya.