Laporan penguatkuasa MBPP dipukul, KM harap polis beri perhatian serius

Admin

GEORGE TOWN – Insiden penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dipukul ketika mengeluarkan kompaun kesalahan parkir dalam suatu kejadian pada 22 Mac lalu patut mendapat perhatian serius daripada pihak polis.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, seorang lelaki yang dipercayai menyerang penguatkuasa MBPP, C. Ilayapoparthy boleh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, dengan hukuman penjara dua tahun atau denda atau keduaduanya sekali jika sabit kesalahan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Saya lihat ini isu serius, seorang penjawat awam boleh dipukul. Saya berharap pihak polis turut mengambil kes ini secara serius,” tegasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut serta, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail. Ilayapoparthy dalam sidang media sama memberitahu, beliau ditumbuk pada muka dan ditolak sampai terbalik oleh lelaki berkenaan dalam kejadian kira-kira 8.15 malam di Jalan Servis dekat Jalan Sungai Dua.

Selepas itu, Guan Eng menyerahkan RM500 sumbangan insentif kepada Ilayapoparthy sebagai tanda simpati dan galakan dengan harapan beliau tidak tertekan serta masih mempunyai semangat untuk menjalankan tugas mengikut lunas undangundang.

Dalam pada itu, Patahiyah berharap orang ramai tidak menghalang tugas yang dipikul kakitangan awam.

“Jika tidak puas hati, boleh buat aduan, jangan guna kekasaran kerana mereka (kakitangan awam) hanya menjalankan tugas.

“Kami (MBPP) memandang serius kes ini,” ulas beliau lanjut.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Kerajaan Negeri menyumbangkan RM1,500 kepada waris keluarga Allahyarham Mohd. Faiz Suhaimi yang merupakan kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), yang maut dalam kejadian kemalangan pada 23 Mac lalu.

Guan Eng ketika menyampaikan sumbangan berkaitan berkata, Kerajaan Negeri melahirkan penghargaan terhadap sumbangan Allahyarham Mohd. Faiz yang telah berkhidmat selama dua tahun dengan MPSP.

“Kami (Kerajaan Negeri) memberikan sumbangan RM1,500 kepada keluarga dan takziah diucapkan.

“Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham ketika berkhidmat dengan MPSP merupakan kakitangan yang bertanggungjawab,” katanya pada sidang media penyerahan sumbangan berkaitan di sini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan waris terdekat Allahyarham.

Dalam pada itu, Maimunah turut melahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya dimaklumkan bahawa beliau (Allahyarham Mohd. Faiz) merupakan pekerja yang baik dan bertanggungjawab.

“Terima kasih di atas jasanya kepada MPSP, malah selain sumbangan Kerajaan Negeri pada hari ini, MPSP juga telah memberikan sumbangan ketika hari pengebumian Allahyarham,” ujarnya sambil menyatakan bahawa kejadian tersebut berlaku di hadapan Depoh Pembersihan Jawi yang mana ketika itu mangsa dipercayai maut dirempuh sebuah teksi ketika ingin melintas jalan.