Larang jual rokok di restoran? respons Exco Kesihatan

GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan sendiri setakat ini tidak menjelasnya sama ada pemilik restoran turut dilarang menjual rokok atau sebaliknya.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye.

“Saya tak ada jawapan tepat bagi isu ini, tetapi ada sahaja banyak kedai jual kondom. Bagaimanapun, kita tidak pula ‘buat’ kat situ pun.

“Bagi ruangan khas pula, dalam pengumuman Kementerian tiada kawasan atau ruangan khas akan dibuat bagi perokok. Hanya kawasan khas di luar restoran akan diwartakan sebagai tempat merokok.

“Matlamat ini adalah untuk mengubah semua kawasan sebagai kawasan larangan merokok, kecuali beberapa lokasi tertentu sahaja,” ujarnya yang merupakan ADUN Seberang Jaya dalam sesi pagi persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini 15 November 2018.

Sebelum itu, beberapa ADUN penyokong Pakatan Harapan Pulau Pinang membangkitkan beberapa aspek kelemahan pada dasar Larangan Merokok yang diumumkan Menteri, Datuk Seri Dr. Dzulkifly Ahmad, serta akan dikuatkuasakan di negeri ini.

Mooi Lye membangkitkan isu pengendali restoran dibenarkan menjual rokok di dalam premis masing-masing.

Selain itu, beliau mempersoal sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mensyaratkan pemilik atau pengendali restoran mewujudkan ruangan tertutup untuk perokok.

“Berkenaan penjualan rokok di kedai makan, adakah PBT akan mensyaratkan larangan menjual rokok kepada pemilik atau pengendali premis berkenaan?

“Bagi saya, situasi ini sangat sarkastik apabila kita beri mereka (pengendali atau pemilik restoran) jual rokok, tetapi kawasan itu tidak boleh merokok,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan.

ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon yang bangun kemudian turut mempersoal mengenai penguatkuasaan larangan itu apabila bilangan kakitangan penguatkuasa dikatakan tidak mencukupi.

“Dalam kes denggi pun masih banyak kelemahan daripada aspek penguatkuasaan.

“Bagaimana kita mahu pastikan penguatkuasaan yang baik dapat dijalankan dalam isu larangan merokok ini,” tanya beliau.

Menjawab soalan itu, Afif mengakui kelemahan itu sudah pun dikenal pasti.

Selain itu, beberapa pertikaian berbangkit tersebut sudah dipanjangkan kepada Menteri, agar menurunkan kuasa berwajib kepada direktorat penguatkuasaan di kedua-dua PBT.

“Bagaimanapun, ada beberapa isu berbangkit dalam hal ini, antaranya, kompaun yang akan dikenakan nanti.

“Adakah ia akan masuk kepada PBT atau disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan, dengan perbincangannya sedang dijalankan,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN