Penjualan makanan dan minuman larangan di luar pagar sekolah, MBPP akan pantau dan jalankan penguatkuasaan

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan mulakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penjualan makanan dan minuman di dalam linkungan 40 meter (m) dari pagar sekeliling sekolah.

 

Tindakan tersebut selaras dengan keputusan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bil. 4 Tahun 2012 berkenaan Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman Di Luar Pagar Sekolah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Ahli Majlis MBPP, Wong Yuee Harng berkata, pihak Majlis dimohon agar bertanggungjawab untuk memastikan setiap permohonan lessen penjaja perlu mematuhi peraturan yang digariskan.

 

“Sacara dasarnya, penjualan makanan dan minuman di dalam lingkungan 40m dari pagar sekeliling sekolah adalah dilarang bagi semua penjaja statik, penjaja beredar dan penjaja sementara.

 

“Walau bagaimanapun, penjaja statik atau peniaga gerai sedia ada yang dibenarkan oleh Majlis di dalam linkungan 40m dari pagar sekolah dibenarkan menjual makanan dan minuman tetapi perlu mematuhi senarai yang dibenarkan,” ujarnya.

 

Antara makanan dan minuman yang dilarang dijual oleh penjaja berlesen ialah gula-gula, jeruk, makanan ringan, makanan mengandungi alkohol, minuman bergas dan minuman menggunakan bahan pewarna.

 

Hadir sama Ahli-ahli Majlis yang juga Ahli Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Gerald Mak Mun Keong, Gooi Seong Kin, Aidi Akhbal Mohamed Zainon, Azahari Aris dan Rohaizad Hamid.

 

Oleh itu, Yuee Harng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam memberitahu  satu notis peringatan baru untuk mematuhi senarai makanan dan minuman yang dilarang dijual akan mula dikeluarkan kepada semua penjaja di luar pagar sekolah.

 

“Notis ini akan diserahkan kepada penjaja-penjaja sedia ada yang berlesen atau bertagging sahaja.

 

“Manakala, bagi yang gagal mematuhi arahan ini akan dikompaun sebanyak RM250,” jelasnya.

 

Dalam perkembangan lain, penjaja tanpa lesen di hadapan Sekolah Kebangsaan Tanjung Tokong dimohon untuk hadir ke sesi temuduga terbuka pada 26 Mac ini untuk penempatan semula penjaja.

 

Yue Harng berkata, sebelumnya sebanyak dua jemputan bagi mengisi gerai-gerai Majlis telah diberikan kepada 16 penjaja tanpa lesen di sana, tetapi hanya tiga orang sahaja yang hadir.

 

“Kita akan keluarkan surat jemputan terakhir untuk sesi temuduga terbuka pada 26 Mac ini.

 

“Mereka boleh memilih kawasan mana yang diingini tertakluk kepada kekosongan tempat,” ujarnya.

 

Difahamkan, keperluan penempatan semula tersebut adalah ekoran kawasan itu akan dimaju dan perlu dikosongkan untuk pembinaan longkang.

 

“Ini adalah tapak milikan Pejabat Daerah dan Tanah, Daerah Timur Laut (DTL), mereka yang mohon kita (MBPP) laksanakan penempatan semula ini.

 

“Jika peniaga-peniaga ini masih enggan hadir pada temuduga terakhir tersebut, Majlis akan merujuknya semula kepada Pejabat Daerah dan Tanah DTL untuk tindakan sewajarnya, kita hanya membantu sahaja,” jelas beliau.