Sasar kurangkan kerenah birokrasi di semua peringkat MOA demi tambah baik perkhidmatan

Admin
SALAHUDDIN Ayub (tiga dari kiri) memalu gong simbolik kepada perasmian Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2019 dekat Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung semalam.

BATU MAUNG – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Salahuddin Ayub mensasarkan untuk mengurangkan kerenah birokrasi di semua peringkat dalam di kementeriannya.

Jelasnya, birokrasi seperti yang terdapat pada hari ini mampu membantutkan usaha MOA untuk menambah baik mutu perkhidmatan terhadap penggiat  sektor pertanian dan perikanan.

“Saya ingin memastikan kerenah birokrasi ini dapat dikurangkan kerana ianya membantutkan usaha-usaha kita dalam memberikan bantuan dalam kedua-dua sektor makanan terpenting ini.

“Kita tidak mahu lagi permohonan atau proses yang dikemukakan oleh petani dan nelayan lambat dan banyak halangan, kita mahukan satu reformasi sistem dalam MOA demi meningkatkan daya saing sekaligus menjadi penyumbang utama dalam sektor ekonomi di negara ini,” ujarnya sambil memberitahu akan melakukan perbincangan dengan setiap Ketua Setiausaha (KSU) Jabatan di bawah MOA dalam masa terdekat ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

Salahuddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2019 dekat Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung semalam.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MOA, Datuk Salim Parlan dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd. Nawi.

Serentak itu turut berlangsung  sesi dialog antara petani dan nelayan dengan pihak MOA, Exco dan Jabatan Perikanan Malaysia.

Antara isu yang dibangkitkan termasuklah isu bantuan sara hidup nelayan, tambakan laut, pencerobohan nelayan luar Pulau Pinang, penggunaan pukat tidak dibenarkan di persisir pantai dan penguatkuasaan.

Salahuddin ketika menjawab soalan yang diajukan memberikan jaminan bahawa sejurus ekonomi dan kewangan negara pulih beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bagi mengutarakan isu (bantuan sara hidup) tersebut.

“Menyentuh isu penguatkuasaa,saya akan melihat semula secara keseluruhan fungsi setiap agensi seperti Jabatan Perikanan dan Agensi Peguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) agar lebih berkesan dan efisien,” ujarnya lanjut.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : CHAN KOK KUAN