Larangan tukang masak asing, buka peluang rakyat tempatan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

 

GEORGE TOWN – Larangan warga asing memasak dan menyediakan hidangan tempatan secara tidak langsung dapat merangsang generasi muda dan rakyat tempatan menceburkan diri dalam bidang tersebut, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ong Ah Teong di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, penguatkuasaan tersebut dilihat mampu mengekalkan kualiti dan rasa hidangan tempatan agar kekal asli.

“Secara tidak langsung, ia dapat membuka lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan untuk menceburi bidang tersebut dan meningkatkan pendapatan masingmasing,’’ katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaran di sini baru-baru ini.

Baru-baru ini, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa hasil tinjauan yang dijalankan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu MPPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Kerajaan Negeri membuat keputusan muktamad untuk hanya membenarkan tukang masak warganegara memasak makanan tempatan di negeri ini.

Peraturan tersebut bagaimanapun hanya tertakluk kepada penjaja yang menerima lesen daripada pihak PBT sahaja.

Malah, Kerajaan Negeri akan memberi tempoh peralihan dan melaksanakan penguatkuasaan tersebut secara berperingkat iaitu dalam tempoh setahun.

Menurut Ah Teong, makanan di Pulau Pinang mendapat permintaan baik dan kukuh sama ada daripada warga tempatan mahupun pelancong.

“Mereka yang diberikan lesen oleh Majlis seharusnya menggunakan platform tersebut untuk mengendalikan gerai makanan sendiri, bukannya serahkan lesen pengendalian kepada warga asing,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Persatuan Penjaja Pulau Pinang turut menyokong langkah Kerajaan Negeri yang melarang warga asing daripada menyediakan hidangan tempatan.

“Sokongan tersebut menunjukkan bahawa kritikan oleh (parti) Gerakan Pulau Pinang terhadap Kerajaan Negeri berhubung perkara tersebut adalah terpencil.

“Jika mereka (Gerakan) tidak berpuas hati, kita boleh sama-sama turun padang ke tapak penjaja dan mendapatkan maklum balas mereka (penjaja) sendiri,’’ seru beliau.