Anugerah Sekolah Hijau pupuk kesedaran generasi muda

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

GEORGE TOWN – Anugerah Sekolah Hijau 2014 peringkat pulau yang dilancarkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) adalah sebagai landasan untuk mendidik dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar agar turut menyumbang ke arah mencapai matlamat Pulau Pinang lebih Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif ke arah pencapaian matlamat tersebut terletak pada kerjasama semua pihak iaitu sektor kerajaan, swasta dan masyarakat.

“Tanggungjawab menjaga kebersihan selalunya dilihat sebagai tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT). “Ini sebenarnya tidak tepat, ia tanggungjawab bersama.

“Isu-isu alam sekitar global seperti kehilangan biodiversiti, kemerosotan sumber asli, pemanasan global, penipisan lapisan ozon, penebangan hutan yang berleluasa serta pelbagai masalah pencemaran alam sekitar merupakan isu-isu semakin meruncing dan meningkatkan cabaran dalam pengurusan alam sekitar.

“Dengan adanya program seperti ini di peringkat sekolah, kesedaran mengenai alam sekitar dapat dipupuk dalam kalangan generasi muda yang akan mewarisi alam ini,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Sekolah Hijau 2014 Peringkat Pulau di sini barubaru ini.

Hadir sama, Pengarah Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa, Mohamed Akbar Mustapha serta Ahli-ahli Majlis MPPP.

Bagi kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Sungai Rusa muncul Johan keseluruhan bagi Kategori Sekolah Rendah 2014. Kejayaan tersebut membolehkan pihak terbabit membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai bernilai RM2,000.Naib Johan, Sekolah Kebangsaan Pulau Betong (RM1, 500).

Dalam pada itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan bagi kategori Sekolah Menengah 2014 dan turut memenangi Anugerah Khas Kebersihan dan Kehijauan dengan membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai RM2,000.

Naib Johan, Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St. George (RM1,500) yang turut menerima Anugerah Khas kategori Penglibatan Komuniti.