Larian Obor APMG 2018 jelajah Sarawak

Admin

Gambar : SU CHIN

GEORGE TOWN – Bahang kemeriahan Kejohanan Asia Pacific Masters Games 2018 (APGM 2018) semakin dirasai dengan penganjuran acara Larian Obor APMM 2018 yang kini memasuki peringkat negeri Sarawak.

Perkara itu dinyatakan dalam satu taklimat yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang merangkap Presiden Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) bersama-sama wakil dari pihak berkuasa tempatan (PBT) Sarawak.

Larian Obor APGM 2018 peringkat negeri berkaitan adalah melibatkan beberapa daerah bermula di Limbang dan berakhir di Kuching dengan jarak sejauh 4,000 kilometer (km).

Tung Seang dalam ucapannya menyifatkan bahawa acara Larian Obor APMM 2018 adalah sebagai sebuah program menarik selain mampu mempromosikan tempat-tempat menarik di Sarawak.

Di peringkat Daerah Limbang, difahamkan Larian Obor APMG 2018 adalah bermula di Dataran Jubli Emas dan dirasmikan Walikota Daerah Limbang, Suffian Mahad pada 18 Jun lalu yang menerima obor diserahkan oleh Pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Perbadanan Labuan, Mahathir Abd. Hamid.

Obor kemudian dibawa berarak di sekitar kawasan Limbang oleh lebih daripada 30 pelari serta penunggang basikal dan larian berakhir di Taman Tasik Emas untuk upacara penanaman pokok.

Terdahulu, sebanyak 31 agensi kerajaan termasuk 12 PBT iaitu Kota Kinabalu, Kudat, Kota Marudu, Ranau, Tamparuli, Tuaran, Kota Belut, Putatan, Papar, Beaufort, Kuala Penyu, Menumbok dan Wilayah Persekutuan Labuan terlibat dalam larian peringkat negeri Sabah.

APMG 2018 akan berlangsung dari 7 hingga 15 September di Pulau Pinang dengan sasaran seramai 5,000 peserta melibatkan 34 negara.