Tradisi rumah terbuka pupuk semangat perpaduan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap tradisi mengadakan rumah terbuka bagi sesuatu sambutan perayaan dapat diteruskan.

Hal ini kerana, bagi Ahli Parlimen Tanjong itu, kunjungan ke rumah-rumah terbuka bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga, sebaliknya masyarakat setempat yang berbilang bangsa dapat turut sama-sama meraikannya.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi melapangkan masa menghadiri majlis rumah terbuka ini, dan saya cukup terharu dengan sambutan yang diberikan penduduk di Kompleks Jalan Kedah ini sepanjang 10 tahun saya sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di sini.

“Terima kasih juga kepada rakyat Pulau Pinang amnya kerana terus memberikan sokongan dan juga kepercayaan sehingga saya dilantik menjadi Ketua Menteri yang kelima setelah penyandang terdahulu, Saudara Lim Guan Eng menerima jawatan di peringkat Persekutuan sebagai Menteri Kewangan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“(Dan) di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, semoga sambutan kali ini lebih istimewa dengan kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 lalu.

“Saya berharap akan ada lebih lagi Ahli-ahli Parlimen dari Pulau Pinang dilantik ke jawatan menteri Kabinet kelak,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Transfer dan Jalan Argyll serta Pusat Khidmat Parlimen Tanjong dan Pusat Khidmat KADUN Padang Kota dekat Kompleks Jalan Kedah di sini 20 Jun lalu.

Turut berucap, Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan ADUN Pangkalan Kota, Gooi Zi Sen antara sebahagian tetamu yang turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut di samping barisan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Penghulu kawasan Tanjong; pimpinan serta Ahli Jawatankuasa Persatuan- Persatuan Muslim tempatan; lain-lain persatuan berkaitan dan penduduk Kompleks Jalan Kedah.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota, dalam pada itu mengumumkan perpindahan Pusat Khidmatnya ke 14F, Jalan Arratoon.

“Walaupun Pusat Khidmat saya berpindah, saya akan terus memberikan perkhidmatan terbaik untuk penduduk di sini (Kompleks Jalan Kedah) serta membantu dari segi pengurusan rumah pangsa di sini.

“Begitu juga sambutan bagi perayaan-perayaan lain yang akan diteruskan di sini sebagai tanda penghargaan dan sokongan penduduk di sini,” katanya yang disambut dengan tepukan pengunjung.

Sementara itu, beribu-ribu pengunjung hadir membanjiri Padang Kota Lama pada penganjuran Majlis Pembukaan Majlis Jamuan Rakyat Aildilfitri 2018 pada 23 Jun lalu.

Kon Yeow dalam ucapannya menyatakan komitmen untuk terus memantapkan kedudukan Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negara dan juga dunia. “Statistik ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah menunjukkan peningkatan dua-digit pada suku pertama tahun ini.

“Sebanyak 821,207 pelancong antarabangsa tiba di negeri ini antara bulan Januari sehingga Mac, berbanding dengan hanya 706,270 orang tahun lepas. Peningkatan ini adalah sebanyak 16.27 peratus.

“Kerajaan Negeri menjangkakan angka berkenaan akan meningkat dengan bertambahnya beberapa penerbangan terus ke negeri ini. Pada tahun ini sahaja, lima penerbangan terus yang baharu telah dibuka, membabitkan bandar Hanoi, Phuket, Doha, Banda Acheh dan Jakarta.

“Secara tidak langsung, situasi tersebut menunjukkan betapa strategiknya Pulau Pinang untuk pelawat luar dari segi pelancongan, ekonomi dan logistik,’’ katanya.