Larian obor tanda sokongan atlet Sukan SEA

BAYAN BARU – Sebagai sokongan kepada para atlet yang bakal beraksi di Sukan SEA ke-27 Myanmar, kempen mengumpul lebih 2.7 juta tandatangan diadakan seiring dengan berlangsungnya Larian Jambatan Pulau Pinang 2013 (PBIM) baru-baru ini di sini.

Syarikat produk minuman di bawah jenama Nestle, Milo Malaysia yang berkolaborasi dengan PBIM turut menganjurkan Larian Obor Kibaran Tenaga Milo sempena temasya berkenaan.

Pengarah Eksekutif Nestle Malaysia, Ho Hau Chieh berkata, adalah penting sebagai rakyat Malaysia untuk tunjukkan sokongan dan galakkan kepada para atlet negara demi memberikan semangat  kepada perjalanan sukan mereka.

“Seiringan dengan penganjuran PBIM ini, sedikit-sebanyak inisiatif yang bertujuan memberi dorongan mampu membakar semangat para kontinjen negara yang bakal berentap nanti.

“Setakat ini, kami (Nestle Malaysia) telah mengumpul hampir 500,000 ikrar dan sokongan daripada rakyat Malaysia. Saya percaya kita mampu mengutip lebih 2.7 juta tandatangan kelak,” ujarnya pada Larian Obor Kibaran Tenaga Milo sempena Sukan SEA ke-27 Myanmar yang bakal berlangsung pada 11 hingga 22 Disember ini di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengetuai larian obor berkenaan sebagai simbolik majlis diadakan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang.

Guan Eng dalam pada itu turut diberi penghormatan melepaskan peserta PBIM 2013 dan menyalakan kawah obor khas sempena Larian Obor Kibaran Tenaga Milo di sini.