Persetujuan laksana SBEZ galak pertumbuhan IMT-GT

Oleh: AHMAD ARAFAT ESAH

GEORGE TOWN – Pembentangan kertas kerja Asia Development Bank (ADB) bagi mewujudkan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) dalam Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) memperoleh persetujuan negara-negara anggota di sini baru-baru ini.

Penubuhan zon tersebut adalah bagi menggalakkan kerjasama serantau selain membantu merancakkan perdagangan, pemasaran, pelaburan dan pekerjaan dalam kalangan negara-negara anggota.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam sidang media berkata, IMT-GT memutuskan untuk membenarkan ADB yang berperanan memberi pinjaman kepada pihak-pihak memerlukan kepakaran ekonomi bagi melaksanakan cadangan SBEZ tersebut.

Menurutnya, Pulau Pinang juga boleh mendapat perkembangan positif dari SBEZ kerana kini negeri tidak mempunyai projek-projek tertentu di bawah IMT-GT.

“Projek-projek ini akan memberi manfaat kepada wilayah-wilayah lain di kawasan sempadan di segi tiga pertumbuhan.

“Pulau Pinang boleh rujuk kepada ADB dan lain-lain negara anggota IMT-GT untuk mendapat idea-idea pembelajaran baru serta pengalaman dan menggunakannya sebagai jambatan untuk menjalankan projek-projek yang menggalakkan kerjasama serantau,” katanya pada Forum Lawatan Ketua-ketua Menteri dan Gabenor-gabenor (CMGF) IMTGT Ke-Empat di sini baru-baru ini.

Bersempena penganjuran berkenaan, ADB membentangkan empat kertas kerja dan masing-masing satu dari Universiti Sains Malaysia (USM), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan investPenang (iP), Penang Global Tourism (PGT) serta Penang International Halal Hub (PIHH).

Dalam pada itu, Pengerusi IMT-GT, Datuk Faudzi Naim Noh memberitahu bahawa SBEZ bakal melibatkan semua 32 provinsi dan akan bekerjasama dengan Program Transformasi Ekonomi Sempadan yang diselaraskan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“Ia akan melibatkan bandar-bandar sempadan seperti Kelantan, Perak dan Kedah yang berhampiran sempadan Malaysia-Thailand bagi menggalakkan perdagangan dua hala.

“Serentak itu, hubungan maritim antara tiga negara akan ditingkatkan,” nyata Faudzi.