Latihan simulasi banjir uji kesiapsiagaan jentera agensi kerajaan hadapi bencana sebenar

Admin

DATUK KERAMAT – Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh menyifatkan Latihan Simulasi Bencana Banjir Daerah Timur Laut 2019 dapat menguji kesiapsiagaan jentera agensi kerajaan dan pasukan penyelamat dalam menghadapi bencana banjir sebenar pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan latihan simulasi berkaitan di Pusat Pemindahan Banjir di Masjid Jamek Hashim Yahaya dekat Jalan Perak semalam.

Dalam ucapan Boon Poh berkata, perubahan cuaca yang mendadak serta peralihan beberapa siri monsun saban tahun telah meningkatkan lagi risiko berlakunya keadaan bencana di luar jangka.

“Latihan simulasi yang diadakan ini sangat bermanfaat terutamanya dalam menguji SOP (Tatacara Operasi Standard) agensi kerajaan dan pasukan penyelamat serta membiasakan mereka dengan keadaan dan kawasan di sini.

ANTARA jentera yang terlibat.

“Berdasarkan pengalaman bencana banjir besar pada 2017, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan SOP ini dipersiapkan sebaik mungkin.

“Malah Kerajaan Negeri juga mencadangkan agar kerangka SOP ini diteliti semula termasuk mencari syarikat-syarikat swasta yang mempunyai kemudahan jentera untuk sama-sama membantu dalam operasi sesuatu bencana.

“Kerjasama semua pihak bukan sahaja akan melicinkan usaha menyelamat tetapi juga mengurangkan risiko bahaya,” ujarnya yang turut meninjau ‘usaha menyelamatkan mangsa-mangsa banjir’ di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong dan ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang selaku Ketua Komander Operasi; Pegawai Daerah bagi daerah Timur Laut, Rosli Halim; Pengerusi Qariah Masjid Jamek Hashim Yahaya, Abdul Razak Mansor serta wakil-wakil daripada agensi berkaitan turut serta dalam latihan yang bermula seawal 7:00 pagi itu.

KELENGKAPAN menyelamat milik Jabatan Bomba dan Penyelamat turut dipamerkan kepada orang ramai.

Boon Poh, dalam ucapannya turut menekankan cadangan penubuhan Bomba Sukarela di peringkat komuniti setempat.

“Kerajaan Negeri sememangnya menggalakkan setiap komuniti menubuhkan satu pasukan bomba sukarelanya sendiri.

“(Dan) dengan adanya pasukan bomba sukarela, maka kerja-kerja menyelamatkan mangsa dapat dijalankan seawal mungkin,” katanya yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mengambil bahagian dalam latihan simulasi tersebut.

Dalam ‘kejadian banjir’ pagi semalam, lima kawasan menunjukkan amaran merah (bahaya), ‘dinaiki air’, iaitu berdekatan Rumah Kelahiran P. Ramlee; Masjid Acheh Kebun Lama; Sekolah Menengah Kebangsaan Abdullah Munshi (di dua lokasi) dan Kampung Dodol.

‘Mangsa-mangsa banjir’ berjumlah 53 orang termasuk pelajar berjaya diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Masjid Jamek Hashim Yahaya bagi tujuan pemeriksaan, rawatan dan pendaftaran mangsa.
WARGA emas antara yang ‘terperangkap’ dalam situasi ‘banjir’ di sini.
Sementara itu, 30 orang terdiri daripada penduduk Kampung Dodol, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), anak qariah Masjid Jamek Hashim Yahaya, ADUN dan wakil ADUN serta wakil agensi kerajaan mengambil bahagian sebagai pemerhati.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis DiRaja Malaysia (PDRM); Skuad Pantas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM); Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang; Jabatan Penerangan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) antara agensi yang menjayakan latihan simulasi bencana banjir kali ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI