Lawan COVID-19, penguatkuasaan semua agensi dan masyarakat masih perlu

Admin

PULAU BETONG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa penguatkuasaan daripada semua agensi khususnya masyarakat masih diperlukan dalam melawan pandemik COVID-19 di Pulau Pinang.

Kata beliau, pencapaian baik Pulau Pinang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini tidak harus disia-siakan setelah muncul sebagai negeri Hijau.

“Di negeri Pulau Pinang, sudah tiga minggu tiada kes baharu dan ini adalah satu pencapaian yang baik dan perlu diteruskan.

“Bagaimanapun, kita masih memerlukan penguatkuasaan daripada semua agensi, lebih-lebih lagi kerjasama daripada masyarakat umum.

“Ini kerana, tanpa kerjasama yang diberikan, maka segala perintah tidak akan dipatuhi, yang mana ianya adalah penting untuk memutuskan rantaian perebakan COVID-19,” ucapnya ketika menyampaikan Bantuan Cakna Rakyat di Simpang Empat, Balik Pulau dekat sini tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri bagi kawasan Balik Pulau, Gooi Seong Kin; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Chiew Choon serta jawatankuasa bagi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Empat.

Pada program tersebut, Kon Yeow menyampaikan barangan keperluan harian kepada 20 penerima terpilih dari kawasan MPKK Simpang Empat yang terkesan akibat penularan wabak berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa kerajaan umumnya sedaya-upaya akan membantu golongan-golongan terkesan antaranya yang diberhentikan kerja, perniagaaan terjejas serta sebagainya.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap kita dapat tangani wabak ini dengan semangat kerjasama bagi memastikan apa yang kita lakukan akan berhasil dengan satu keadaan terbaik sekali,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : DARWINA MOHD. DAUD