Lawan, ganyang aedes habis-habisan, gesa ADUN

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PANTAI JEREJAK – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon mengajak rakyat Pulau Pinang khususnya para penghuni di Blok 1, Jalan Tengah di sini untuk melawan dan ganyang nyamuk aedes habis-habisan dalam usaha menangani penularan wabak berkenaan.

Menurut beliau, pelbagai usaha dilakukan Kerajaan Negeri dalam memastikan ia dapat dibendung ekoran jumlah kematian yang dicatatkan adalah membimbangkan.

“Baru-baru ini, saya bersama-sama Ketua Menteri ada membuat lawatan di Bayan Lepas di kediaman salah seorang mangsa yang meninggal akibat demam denggi.

“Sebagai Kerajaan Negeri, kita tidak mahu nyawa rakyat negeri ini terancam oleh denggi… kes ke-13 ini sudah melebihi jumlah kematian yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun 2016 iaitu 12 mangsa.

“Dengan berbaki beberapa bulan lagi sebelum tahun 2018, kita (Kerajaan Neger) tidak mahu lagi ada dalam kalangan rakyat negeri ini yang menjadi korban deman denggi,” katanya pada Program Gotong-Royong Bagi Membasmi Tempat Pembiakan Aedes Di Jalan Tengah, Bayan Baru baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Gan Ay Ling.

Mohd. Rashid dalam pada itu turut memuji komuniti di Jalan Tengah yang dilihat kerap mengadakan program-program gotong-royong.

“Sebenarnya ini (gotongroyong) merupakan kaedah tradisional, namun ianya masih diguna pakai sehingga hari ini kerana ia memberi banyak manfaat kepada masyarakat setempat antaranya, mengeratkan silaturahim dan paling utama adalah menjaga kebersihan setempat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.