SPT Fun Walk 2017 I Penang tarik peserta luar, dalam negeri

PADANG LALANG – Seramai 1,500 peserta memeriahkan penganjuran Seberang Perai Tengah (SPT) Fun Walk 2017 I Penang yang berlangsung di Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sungai Rambai di sini baru-baru ini.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, progam yang julung kali dianjurkan tersebut dilihat mencapai objektifnya apabila turut mendapat penyertaan dari Perlis, Kedah dan Perak.

“Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bagi menjaga kesihatan tubuh badan.

“Selain itu, ia juga membuka peluang kepada para peserta untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan yang kadang-kala terjejas atas faktor kesibukan harian,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang pada majlis berkaitan.

Mengulas lanjut, Chong Eng memaklumkan, sejak 2006 hingga 2016, Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM42 juta dalam melaksanakan 84 projek naik taraf, pembinaan dan penyelenggaraan kemudahan sukan untuk kegunaan rakyat.