GEORGE TOWN – Setiap lawatan ke luar negara adalah bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala serta mengembangkan kerjasama kerajaan-ke-kerajaan dalam aspek pembangunan bandar, pengurusan hijau, inovasi dan pelancongan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa lawatan-lawatan berkaitan antara lain bertujuan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Pulau Pinang sebagai usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri dan mengembangkan peluang pasaran antarabangsa, khususnya dalam sektor pertanian, teknologi, industri halal dan pelancongan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri telah menjalankan 22 lawatan kerja ke luar negara.
“Keseluruhan perbelanjaan bagi melaksanakan kesemua lawatan tersebut adalah sebanyak RM2.9 juta, termasuk RM1.4 juta yang dibiayai oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), dan RM0.22 juta oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) khusus bagi penyertaan negeri di Ekspo Dunia 2025, Osaka, Jepun,’’ jelasnya.
Berhubung dengan hasil konkrit yang telah dicapai, Kon Yeow memberitahu antara contohnya adalah semasa penganjuran Minggu Pulau Pinang (Penang Week) di Pavilion Malaysia bersempena World Expo 2025 Osaka, sebanyak tiga Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara PDC dan pelabur asing.
“MoU tersebut melibatkan nilai potensi pelaburan berjumlah RM426 juta, iaitu, FedEx (RM153 juta); DHL (RM153 juta) dan Shizen International & Atlantic Blue (RM120 juta).
“Selain itu, dari aspek impak ekonomi, Penang Week turut membuka ruang kerjasama strategik melalui 20 sesi pemadanan perniagaan (business matching) melibatkan syarikat dari Jepun, sekali gus memperluas jaringan pelaburan dan perdagangan bagi Pulau Pinang,’’ katanya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa penyertaan wakil Kerajaan Negeri di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS@Shanghai2025) di Shanghai, China dari 4 hingga 7 November 2025 juga telah membawa hasil yang membanggakan dengan dua syarikat Pulau Pinang telah memeterai MoU.
“MoU tersebut melibatkan Nashmir Capsule Sdn. Bhd. bersama JiangsuZhouyu Glasses Co. dengan nilai RM21 juta bagi tempoh lima tahun, dan Hang Tuah Sdn. Bhd. bersama King Sight (GZ) Co. Ltd. dengan nilai RM2 juta untuk tempoh dua tahun.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperluas pasaran halal Pulau Pinang ke China, bahkan turut mengukuhkan kedudukan negeri dalam rantaian bekalan global, yang mana melalui usaha berterusan serta perancangan terperinci dalam mempromosikan pelancongan Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah memperkukuh kerjasama sektor penerbangan bagi membuka dan menghubungkan semula laluan-laluan antarabangsa strategik.
“Antara bandar yang kini dihubungkan terus dengan Pulau Pinang termasuk Xiamen, Shanghai, Shenzhen, Chengdu, Dubai, Chennai, Yangon, Doha dan beberapa destinasi lain,” ulasnya lanjut.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIAN EN